Paling Popular
Terkini

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun ini.

Menurutnya pembubaran itu diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14.

“Adalah saya dengan ini telah mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukan bahawa sultan boleh membubarkan DUN.

“Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tindakan lanjut untuk diproses dalam tempoh 60 hari.

“Terpulang kepada SPR untuk menentukan tindakan lanjut dan notis berkenaan akan dihantar secepat mungkin,” katanya.

Selain Kelantan, lima lagi negeri yang bakal mengadakan pilihan raya adalah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

Pada 8 Jun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata DUN negeri itu akan dibubarkan pada 28 Jun ini dan dia akan membentangkan perkara itu kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Lihat Komen
ADS