Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP tawar bantuan guaman kepada pemilik kedai berseluar pendek
Diterbitkan:  Jun 27, 2023 2:23 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

DAP hari ini menghulurkan bantuan guaman secara percuma kepada seorang wanita bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan yang juga pemilik sebuah kedai yang didenda kerana memakai seluar pendek.

Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata timbalannya, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer boleh mewakili wanita itu jika dia memilih untuk mencabar perkara berkenaan di mahkamah.

“Saya sudah berhubungan dengan peguam kanan kami, Gobind dan Rayer, dan mereka bersetuju mengambil kes ini bagi pihak wanita itu supaya kami boleh mempertahankan dan melindungi hak kami yang semakin  terhakis dan daripada dirampas… sudah tentu, tanpa sebarang bayaran.

“Jika kita tidak bangkit dan berjuang bersama-sama, mereka (Perikatan Nasional) akan meneruskan tindakan  melampau mereka yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Lim berkata denda yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah contoh "ekstremisme dan perkauman" PN.

Dakwanya, MPKB bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dan ini membuktikan bahawa kerajaan PN sedia untuk "mendiskriminasi dan menceroboh kehidupan orang bukan Islam".

“Tiada undang-undang (bawah Perlembagaan Persekutuan) yang menghukum kamu kerana kononnya berpakaian tidak senonoh di premis sendiri.

“Mengapa kamu mengenakan peraturan ini kepada orang bukan Islam? Kamu mengganggu orang bukan Islam, terutamanya wanita.

“Perlembagaan persekutuan tidak memberi kamu hak untuk menjadi polis moral," katanya.

Wanita berusia 35 tahun itu telah diberikan notis kompaun pada 25 Jun lalu yang kemudian dikongsinya di media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kejadian itu.

Ini mencetuskan kemarahan dalam alam maya, mendorong netizen mengecam pihak berkuasa kerana menguatkuasakan undang-undang agama ke atas orang bukan Islam.

Datuk Bandar MPKB Rosnazli Amin mempertahankan keputusan majlis dan mendakwa wanita dalam gambar yang memegang notis kompaun berkenaan tidak memakai pakaian yang sama seperti ketika dikunjungi anggota penguatkuasa.

Rosnazli kemudiannya berkongsi gambar anggota penguatkuasa yang melawat butik pakaian wanita itu, yang memaparkannya memakai kemeja-T merah jambu labuh bersaiz besar yang menutupi seluar pendeknya.

Menurut notis yang diterima wanita itu, pihak berkuasa memetik 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Perdagangan dan Perniagaan 2019 yang menyatakan pemilik lesen perniagaan mesti memastikan mereka yang bekerja di premis berkenaan berpakaian "sopan" atau, menutup aurat jika mereka beragama Islam.

Lim menambah bahawa masyarakat bukan Islam harus tampil menentang serangan langsung ke atas kehidupan peribadi mereka dan menggalakkan mereka melindungi hak asasi mereka daripada ideologi ekstremis.

Dia memberi amaran bahawa jika orang ramai berdiam diri walaupun didiskriminasi, PN akan meneruskan "tindakan melampau" mereka yang akhirnya akan menjejaskan perpaduan nasional.

Sementara itu, dia juga menegaskan bahawa ini bukan kali pertama bulan ini yang  menyaksikan PN berdepan kritikan kerana cuba menentukan apa pakaian wanita yang sepatutnya.

Wan Razali Wan Nor

Lim merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor mengenai pakaian seragam jururawat yang didakwanya "terlalu ketat dan tidak patuhi syariah".

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS