Suhaimi yakin rampas Sungai Pelek walau bukan tugas mudah
Menyedari bukan tugas mudah apabila diamanahkan bertanding di dewan undangan negeri (DUN) Sungai Pelek, namun Ketua Bersatu Bahagian Sepang Suhaimi Mohd Ghazali yakin angin perubahan rakyat Selangor akan berpihak kepadanya.
Menurutnya, dia yakin beberapa faktor berdasarkan situasi politik semasa membuka peluang untuknya berkhidmat di kawasan itu.
"Saya lihat ia bukan kerusi mudah tetapi berdasarkan beberapa faktor khususnya angin perubahan dan senario politik, saya melihat kita mempunyai peluang.
"Ada banyak faktor khususnya dari segi sokongan mengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lalu dan situasi dihadapi pihak lawan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan Suhaimi yang juga bekas ketua pemuda Umno selangor akan mewakili PN untuk bertanding di DUN Sungai Pelek.

Pada pilihan raya umum 2018, DUN Sungai Pelek dimenangi calon DAP Liu Tian Khiew dengan majoriti 6,586 undi menewaskan calon daripada MCA, PAS dan PAP.
Sementara itu Suhaimi berkata, dia menyahut cabaran itu dengan rasa gembira dan yakin pengundi kawasan itu mahukan sentuhan baru selepas dua penggal diwakili wakil rakyat daripada DAP.
Katanya, BN berdepan masalah selepas MCA dan MIC tidak serasi dengan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus akan memberi kelebihan kepadanya.
"Kita jangan lupa hanya dua penggal DUN Sungai Pelek diwakili DAP dan sebelumnya dipegang MCA. Dengan penolakan MCA terhadap kerjasama BN dan PH saya lihat kita mempunyai kelebihan.
"Pemimpin atas mereka (BN-PH) mungkin gembira di sebalik kerjasama mereka, tetapi saya nampak tidak bagi akar umbi.
"Alhamdulillah saya sudah 30 tahun berpejabat di kawasan ini, saya dapat maklum balas yang baik daripada masyarakat dan rakan-rakan daripada Umno di sini selepas diisytihar sebagai calon," katanya.

Tambahnya trend sokongan terhadap PN di Selangor juga memberi keyakinan kepadanya untuk bekerja keras dan memenangi kerusi itu.
"Di sini terdiri daripada 60 peratus pengundi Melayu, 20 peratus kaum Cina dan 14 peratus pengundi India. Kita dapati sejak sebelum ini lagi wujud permintaan supaya wakil rakyat di sini diwakili orang Melayu.
"Malah Umno sendiri pada 20 tahun lalu mengadakan resolusi agar calon Melayu bertanding bagi DUN Sungai Pelek. Kita tahu selama ini diwakili bukan wakil rakyat Melayu, kita pula menerjah kubu bukan Melayu. Namun kepimpinan PN juga terbukti sangat prihatin terhadap masyarakat bukan Melayu.
"Jadi saya rasa inilah peluang dan masanya untuk pengundi Sungai Pelek sendiri melakukan perubahan," ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/821b0f2232836f38612aeb68bc0971d1.jpg)
