Presiden Gerakan Dominic Lau membuat laporan polis, mendakwa akaun Twitternya telah digodam selepas satu ciapan sensitif dimuatnaik berhubung  kematian Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub.

“Terdahulu, saya hadir di Balai Polis Sri Hartamas untuk membuat laporan berhubung akaun Twitter saya telah digodam oleh individu tidak dikenali,” katanya dalam satu hantaran di  Facebook.

Tambahnya, laporan itu dibuat bagi menafikan yang dia memuat naik ciapan kontroversi seperti yang tular semalam.

Ia berlaku selepas kecoh di media sosial mengenai ciapan yang disiarkan di akaun Lau semalam mengenai hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Tweet itu - yang telah dipadamkan - telah disiarkan hampir sejam selepas penyandang kerusi Parlimen Pulai, Allahyarham Salahuddin, dikebumikan.

“Adakah OK jika saya bertanding dalam PRK Pulai?” katanya dalam ciapan yang pada jam 12.37 tengah hari semalam, berdasarkan tangkap layar.

Ketika dihubungi semalam, Lau menghantar imej kepada Malaysiakini dan mendakwa ia  sebagai "palsu".

Dia kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa akaun Twitter itu miliknya tetapi telah "digodam".

Salahuddin, yang merupakan ahli parlimen Pulai dua penggal, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 9.23 malam Ahad selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. Dia berumur 61 tahun.

Beliau memegang portfolio menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup dan juga timbalan presiden Amanah.

Pada pilihan raya umum lalu, Gerakan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan tiga penjuru untuk kerusi itu.