Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Zahid mahu sayap Umno 'lebih ikhlas' bergerak hadapi PRN

Setelah mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-15 lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sayap parti itu bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan datang merupakan peluang terakhir mereka untuk bangkit semula.

Sumber parti itu memberitahu Malaysiakini, semasa mempengerusikan suatu mesyuarat semalam timbalan perdana menteri itu juga meminta ketiga-tiga sayap Umno supaya "lebih ikhlas" mengharungi PRN tidak lama lagi.

Katanya Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Induk BN sempena bagi PRN di enam negeri nanti.

"Presiden memberitahu, sumbangan sayap kepada parti khususnya dalam PRN ini tidak begitu memberangsangkan," katanya yang turut hadir dalam mesyuarat itu di Kuala Lumpur.

Menurut sumber itu lagi, Ahmad Zahid mengarahkan jentera Pemuda, Wanita dan Puteri Umno memberi laporan yang sebenar mengenai situasi di lapangan kepada puncuk pimpinan.

Katanya, Ahmad Zahid menekankan perkara itu kerana maklumat yang tepat diperlukan jika mereka mahu melihat Umno kembali mendapat sokongan ramai.

"Dia juga berkata sayap Umno tidak lagi boleh berfungsi dengan cara konvensional, iaitu terlalu fokus kepada jentera, tetapi rakyat atau pengundi diabaikan," katanya.

Tiada lagi peruntukan besar

Setelah lebih dua abad menjadi seteru politik, Umno akan bekerjasama buat kali pertama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya.

PRN kali ini - membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu - diadakan berasingan selepas dewan undangan masing-masing tidak dibubarkan pada Nov tahun lalu.

Kebiasaannya PRN diadakan serentak di hampir semua negeri dengan pilihan raya bagi kerusi parlimen.

BN memilih untuk bekerjasama dengan PH ketika kedua-dua parti gagal mendapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Keputusan PRU ke-15 pada tahun lalu menyaksikan BN hanya memenangi 30 kerusi parlimen, manakala PH pula 82. Walaupun menjadi parti yang memenangi kerusi paling banyak, jumlah minimum yang diperlukan bagi membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

Rundingan sesama pemimpin parti dan Istana Negara menyaksikan Yang di-Pertuan Agong menasihatkan pihak yang berkenaan berpakat untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun PN memilih untuk menolak saranan tersebut kerana menganggap mereka sudah memiliki jumlah yang mencukupi bagi membentuk kerajaan sendiri.

Situasi semasa menyaksikan Umno berdepan dengan dua lagi parti utama untuk memenangi sokongan pengundi Melayu iaitu Bersatu dan PAS.

Pada PRN 12 Ogos ini, Umno akan bertanding 108 kerusi di enam negeri menggunakan logo BN.

Sumber Umno itu juga memberitahu Malaysiakini semasa mesyuarat semalam, Ahmad Zahid meminta jentera sayap parti menukar cara berkempen.

"Dia bertegas bahawa parti tidak akan lagi memberi peruntukan yang besar kepada sayap seperti sebelum ini.

"Presiden kemudian membandingkan keadaan jentera PH yang jauh lebih kecil dari segi bantuan kewangan dan sumber manusia, tapi masih mampu menarik pengundi lebih banyak berbanding Umno," katanya.

Lihat Komen
ADS