Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh menggesa ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) supaya terus bersabar kerana kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan akta itu.

Semalam, ahli keluarga tahanan memulakan mogok lapar di luar penjara Sungai Buloh bagi menuntut pembebasan ahli keluarga mereka, yang dipenjarakan tanpa bicara.

“Pada masa ini, cadangan penambahbaikkan kepada Sosma 2012 sedang diteliti bersama pihak Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Peguam Negara.

“Justeru itu, usaha-usaha meneliti penambahbaikkan kepada Sosma 2012 mengikut kesesuaian semasa sememangnya sedang berjalan dan saya yakin bahawa syor-syor berhubung cadangan penambahbaikkan ini akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada kesemua ahli keluarga tahanan di bawah Sosma 2012 yang sedang melakukan tindakan mogok lapar ini untuk terus bersabar dan menamatkan tindakan mogok lapar tersebut sementara proses reformasi undang-undang berjalan dan demi kanak-kanak kecil yang kelihatan hadir bersama di luar perkarangan Penjara Sungai Buloh, Selangor,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan menteri itu menambah bahawa sesi libat urus mengenai perkara ini, yang dipengerusikannya, telah bermula sejak Februari dengan pihak berkepentingan, termasuk dengan beberapa ahli keluarga yang mogok lapar.

Sebanyak 12 sesi libat urus dalam enam fasa telah diadakan setakat ini di seluruh negara.

Semalam kira-kira 100 ahli keluarga 69 tahanan Sosma melakukan mogok lapar di luar penjara.

Kira-kira 34 tahanan dilaporkan berada di Sungai Buloh manakala selebihnya di Alor Setar, Kedah.

Sosma adalah undang-undang kontroversial yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari.

Walaupun kerajaan berkata ia merancang untuk mengkaji semula peruntukan Sosma, aktivis hak asasi manusia menuntut untuk pemansuhan sepenuhnya.