Mogok lapar tahanan Sosma, ahli keluarga berakhir - Ramkarpal
Tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan ahli keluarga mereka telah menamatkan mogok lapar mereka semalam, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ramkarpal berkata dia bertemu dengan tahanan-tahanan itu di penjara Sungai Buloh dan mereka yang mogok di luar penjara.

“Hasil penerangan saya kepada banduan serta ahli keluarga mereka, tindakan mogok lapar tersebut oleh para tahanan dan juga ahli-ahli keluarga mereka telah ditamatkan sekitar jam 2:00 petang semalam.
“Saya amat bimbang akan keadaan kesihatan mereka dan bersyukur apabila melihat mereka makan dan minum,” tulisnya.
Malaysiakini, sebelum ini melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga daripada 69 tahanan Sosma terlibat dalam mogok yang bermula sejak Isnin lalu, dengan tujuan menuntut supaya tahanan yang dipenjarakan tanpa bicara dibebaskan.
Kira-kira 34 daripada tahanan itu dilaporkan ditahan di Sungai Buloh manakala selebihnya ditahan di Alor Setar, Kedah.
Sosma ialah undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari.

Antara lain, undang-undang itu juga membenarkan pegawai polis yang berpangkat superintenden dan ke atas untuk menafikan akses tahanan kepada waris atau peguam mereka sehingga 48 jam jika ada alasan munasabah untuk berbuat demikian.
Kerajaan sebelum ini telah berkata ia merancang untuk "menyemak semula" peruntukan Sosma, namun aktivis hak asasi manusia mendesak pemansuhan sepenuhnya.
Ramkarpal pada Selasa lalu menggesa ahli keluarga tahanan Sosma itu supaya terus bersabar kerana kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan akta tersebut.

Katanya, ketika ini, cadangan penambahbaikkan kepada Sosma 2012 sedang diteliti bersama pihak Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Peguam Negara.
Justeru, katanya dia yakin bahawa syor-syor berhubung cadangan penambahbaikkan itu akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/9877f89d6b2af8cc79e69fad421b874f.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/0c00c5b1e5aa8af2f138e7c73eb031ca.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/97dfa7479f356959a6c675f1eb6a78b4.jpg)