Tarik diri dari PN jika Gerakan masih ada maruah, kata Kok
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencadangkan agar Gerakan meninggalkan gabungan PN untuk membuktikan parti itu masih ada memiliki maruah.
Gesaan itu dibuat selepas kemelut yang terus membelenggu parti terbabit bersama rakan mereka dalam PN, PAS, sehingga membawa kepada insiden Dominic Lau diusir dari majlis ceramah di Tasek Gelugor baru-baru ini.
“Selama bertahun-tahun saya dalam politik, saya sangka saya sudah melihat semuanya… sehinggalah saya menyaksikan insiden yang sukar untuk dipercayai, iaitu sikap dingin Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim terhadap Lau,” katanya.
Kok turut meluahkan rasa tidak percayanya apabila Lau sendiri menafikan dia dihalau oleh Iszuree semasa majlis yang melibatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu berlangsung.
“Sekarang, Lau berkata dia telah menerima permohonan maaf PAS dan meminta semua orang untuk melupakannya,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini.
Kok juga menegaskan permohonan maaf PAS kepada Lau sebenarnya bukan datang daripada Iszuree yang terlibat secara langsung dalam insiden tersebut, sebaliknya hanya dibuat Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Menurut Kok, sepanjang tempoh terlibat dalam politik belum pernah lagi dia melihat seorangn presiden parti dihina dan diperlekehkan sebegitu rupa.
“Pengundi mengharapkan pemimpin yang berani dan berprinsip, bukan seorang pengampu terutama kepada parti ekstremis seperti PAS.
“Lau, penghinaan sebegini terhadap kamu adalah penghinaan kepada semua ahli Gerakan, dan permohonan maaf tidak ikhlas ini (half-baked apology) adalah sama dengan dengan tidak meminta maaf.
“Gerakan harus meninggalkan PN jika masih ada maruah,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Pengerusi Gerakan Tanjong, H'ng Khoon Leng, sudah dua kali PAS memohon maaf kepada Gerakan berhubung insiden yang sama, termasuk satu daripadanya secara dalaman.
Untuk rekod Iszuree yang dihubungi Malaysiakini semalam enggan memberi komen berhubung insiden berkenaan serta arahan PAS Pusat agar ahli parti itu di Pulau Pinang membantu Lau.
“No comment (tak ada komen),” katanya ringkas kepada Malaysiakini melalui pesanan WhatsApp.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/1b7615ee57ad43bf438442e43ed460c2.jpg)
