PAS menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan menyekat media tertentu sejak kebelakangan ini, kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow dan terbaru ke atas TV Pertiwi, saya melihat kerajaan PH-BN semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN.

"Kita melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu," katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Tuan Ibrahim, Anwar yang juga pengerusi PH perlu menunaikan ikrar mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana dijanjikan dalam manifesto gabungan itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyokong desakan wartawan kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menjadi "Big Brother" (Abang Besar) dengan menyekat kandungan dalam talian sewenang-wenangnya.

"Sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar. Kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil dari kebebasan bermaklumat," katanya.

Pada 28 Jun lalu Malaysiakini melaporkan portal berita MalaysiaNow tidak boleh diakses oleh sesetengah pengguna dan berkemungkinan disekat oleh penyedia perkhidmatan internet (ISP)

Bagi pengguna yang terjejas, percubaan untuk mengakses laman web itu tidak akan menghasilkan sebarang respons. Portal itu bagaimanapun dapat diakses semula sehari kemudian selepas berita mengenai sekatan itu dilaporkan.

Pada 7 Ogos lalu kerajaan dilapor menyekat akses ke laman web UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna internet di Malaysia.

Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis menyatakan bahawa laman sesawang tersebut tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.

Pada 18 Ogos lalu, laman web TV pertiwi pula tidak dapat diakses selepas akaun Tik Toknya disekat.

Ketua pegawai operasinya Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata semakan menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat sekatan DNS dengan data memaparkan IP SKMM, iaitu 175.139.142.25.

SKMM dalam penjelasannya mengatakan mereka menjalankan kewajipan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi menghalang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutama berkaitan maklumat salah atau tidak tepat.

Minggu lalu, TVAlhijrah pula disekat kerana mengulang siar rancangan melibatkan bekas menteri daripada PAS, Idris Ahmad.

Saluran televisyen tempatan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), menyiarkan tayangan semula "Hijrahkan Laguku", pertandingan nyanyian Islamik yang pertama kali disiarkan pada Januari 2022.

Program itu menampilkan Idris yang pada masa itu merupakan menteri hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Rentetan daripada peristiwa itu, sekumpulan tokoh dan wartawan kanan membantah tindakan SKMM yang didakwa bertindak sebagai ‘abang besar’.

Kumpulan itu terdiri daripada bekas pengerusi Media Prima, Johan Jaaffar; tokoh wartawan, A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hussamuddin Yaacob; bekas pengurus besar Bernama, Azman Ujang; Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya; bekas ketua pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab dan bekas pengarang yang kini penganalisis politik, G Manimaran.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

SKMM dalam reaksinya sekali lagi menjelaskan badan itu bertindak berdasarkan AKM 1998 bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.