Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reformasi diuar-uarkan mati sebab PN sakit hati, kata Otai Reformis

Tanggal 20 Sept nanti, genaplah secara rasmi 25 tahun perjuangan reformasi yang dicetuskan Anwar Ibrahim.

Bermula pada detik mencemaskan tahun 1998 dulu dia mengajak rakyat negara ini menyertai gerakannya mahu membawa perubahan. Ternyata ia tidak seperti yang dibayangkan oleh ramai orang.

Bahkan Anwar sendiri terpaksa menunggu sehingga hampir 25 tahun untuk menjadi perdana menteri.

Kini selepas kira-kira 10 bulan menjadi ketua kerajaan, agenda reformasi yang pernah dilaungkan Anwar bersama penyokongnya dulu menjadi tumpuan untuk maksud yang berbeza-beza.

Misalnya musuh politik PH menjadikan ia sebagai modal atau peluru untuk mengkritik bahkan mengecam tindak-tanduk yang dikaitkan dengan Anwar.

Reformasi itu dipersenda - misalnya digelar "reformati" atau "reforbasi" khususnya ekoran perkembangan realiti politik yang memerlukan PH bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU ke-15 lalu.

Terkini keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Ia sekadar menebalkan lagi persepsi bahawa "reformasi sudah mati".

Berdepan dua pilihan

Bagaimanapun bagi kumpulan penyokong dan pendukung awal perjuangan reformasi, Otai Reformis 1998 (Otai Reformis), tanggapan yang dinaratifkan musuh politik terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan adalah tidak benar.

Di mata Otai Reformis pelbagai sendaan dan hinaan kepada kerajaan Anwar itu dibuat semata-mata kerana masalah sakit hati berterusan kumpulan pembangkang.

Pengerusi Penaja Otai Reformis Mustapa Mansor berkata PN menggunakan naratif berkenaan dengan matlamat untuk memecah-belahkan kerajaan.

Hal itu kerana, menurut Mustapa, PN menemui jalan buntu bagi meneruskan kelangsungan politik mereka kecuali menggugat atau melemahkan perpaduan di Putrajaya.

"Selepas PRU ke-15 muncul suatu kesempatan di sebalik kedudukan pasukan reformasi (PH) mendapat 84 kerusi dan tidak memperoleh majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi.

"Oleh yang demikian satu sejarah berlaku iaitu parti yang memperjuangkan reformasi ini mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan mengambil beberapa strategi untuk bersama BN yang kita tahu sebelum ini menjadi musuh utama dalam sejarah perjuangan reformasi," katanya kepada Malaysiakini.

Mustapa Mansor

Tambah Mustapa, dalam keadaan begitu Anwar diberikan pandangan dalam kalangan sahabat PH bahawa ada dua situasi yang sedang didepani mereka.

Pertama, kata Mustapa, sekali lagi menjadi pembangkang; atau menjadi kerajaan dengan ada beberapa pendirian perlu disesuaikan dengan kehendak semasa tanpa mengabaikan sepenuhnya agenda reformasi.

Ditanya mengenai agenda reformasi susulan keputusan DNAA kes Ahmad Zahid, Mustapa menegaskan, ia hanyalah naratif yang dimainkan PN kerana Anwar sudah memberi penegasan bahawa dia tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah.

Mengulas lanjut, kata Mustapa, perkara itu tiba-tiba dihebohkan di media sosial khususnya oleh penyokong PN dengan membawa naratif isu Ahmad Zahid akan membawa bencana baru.

"Bagi saya, ini adalah satu cara untuk memecahkan perpaduan kerajaan. Pertamanya Anwar tidak terlibat dalam percaturan di mahkamah, itu adalah komitmen dan prinsip yang dipegang beliau sejak dahulu, sekalipun musuh-musuh politik menyatakan dia terlibat dan sebagainya.

"Jelas tidak ada buktinya, malah beberapa minggu sebelum kejadian tersebut, Muhyiddin Yassin (pengerusi PN) juga mendapat layanan yang seimbang dari mahkamah," katanya.

Proses reformasi total

Tambah Mustapa untuk melihat dengan lebih matang, selain Ahmad Zahid, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dilepas dan dibebaskan daripada lebih 40 pertuduhan ekoran langkah pendakwaan menarik balik kes mereka.

Apa yang berlaku ke atas Ahmad Zahid, katanya, adalah "kebetulan" semasa Anwar menjadi perdana menteri, sekali gus didakwa menyebabkan reformasi dibawa ahli politik itu berakhir.

"Saya dengan tegas menyatakan reformasi tidak mati, bahkan kita sedang bermain dalam medan yang berbeza.

"Justeru saya berpesan kepada sahabat-sahabat reformasi agar berhati-hati dengan langkah ke depan, sebab kerajaan perpaduan ini juga sebenarnya antara agenda reformasi.

"Ini adalah sebuah natijah dalam proses mencapai reformasi total," jelasnya.

Untuk rekod Muhyiddin pada 15 ogos lalu berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Selain itu Musa yang juga bekas ketua menteri Sabah dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu pada Jun 2020.

Mustapa berkata agenda reformasi memang pernah terjejas seketika iaitu apabila PH menerima Dr Mahathir Mohamad untuk diangkat sebagai perdana menteri buat kali kedua.

Ini kerana katanya, PH ketika itu tidak tidak bersiap-sedia berdepan dengan realiti bahawa Mahathir boleh menggagalkan kerajaan PH dari dalam.

"Jadi itu sudah menjadi pengajaran yang cukup besar saya rasa, jadi takkanlah sekali lagi kita boleh dipatahkan musuh-musuh politik Anwar dan reformasi.

"Apabila kita melihat kerajaan perpaduan sebenarnya sebahagian daripada agenda reformasi - kerana kita tidak dapat memperoleh kekuasaan dengan sepenuhnya berdasarkan kerusi yang dimilik PH - maka kita mengambil pendekatan gabungan untuk menjayakan reformasi.

"Sekalipun ada yang kata ini akan memenangkan DAP, ini juga satu lagi naratif yang cuba dibangunkan musuh politik reformasi, mereka kata dengan Zahid ikut bersama kerajaan perpaduan maka sebenarnya mereka (PN) sudah hilang peluang untuk menjadi sebuah kerajaan," katanya lagi.

Mustapa menjelaskan sebelum ini PN sudah mencuba bersungguh-sungguh untuk menarik sokongan BN untuk membentuk kerajaan bersama parti dari Sabah dan Sarawak.

Namun katanya disebabkan ego dan mungkin Anwar lebih pantas membuat keputusan, maka terbentuklah kerajaan perpaduan dengan Ahmad Zahid membawa BN bergabung.

"Mungkin ini ada faktor sakit hati berpanjangan pihak PN dan mereka tetap mambawa naratif bahawa kerajaan ini akan jatuh," katanya.

Tambah Mustapa lagi, dengan 'kematangan' obor reformasi yang mencecah 25 tahun tidak lama lagi, "sahabat-sahabat reformis" juga semakin matang, berdisiplin, berwibawa untuk melakukan perubahan di negara ini.

"Apapun yang terjadi kepada perjuangan ini saya sangat berharap pejuang-pejuang reformasi akan terus komited, tetap bekerja dan berjuang untuk memberi kefahaman kepada rakyat, bahawa contohnya konsep kerajaan Madani yang dibawa Anwar adalah sebahagian daripada proses agenda reformasi.

"Saya yakin insya-Allah dalam tempoh lima tahun akan datang, jika lebih konsisten agenda reformasi melalui pendekatan Madani, saya rasa rakyat Malaysia akan menikmati kebebasan bersuara, kebebasan berpolitik dan mendapat nilai hidup yang lebih baik," katanya.

Lihat Komen
ADS