Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis lepaskan Chegubard selepas ambil keterangan
Diterbitkan:  Sep 15, 2023 11:16 AM
Dikemaskini: 4:25 AM

Polis membebaskan aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, selepas dia selesai memberi keterangan pada 2.15 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, pagi tadi.

"Alhamdulillah Cikgubard dibebaskan pagi ini jam 2.15 selepas diambil keterangan,” katanya.

Malam tadi, Malaysiakini melaporkan penangkapan aktivis pembangkang itu dibuat menjelang himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadual pada Sabtu ini.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli dalam satu hantaran berasingan di Facebook mendakwa tangkapan itu tiada kaitan dengan rancangan kumpulan pembangkang berhimpun pada Sabtu ini yang juga merupakan sambutan Hari Malaysia.

Ahmad Fadhli Shaari

"Tak ada kaitan dengan himpunan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata Badrul Hisham ditahan kerana gagal memberi kerjasama kepada siasatan polis dalam enam kes berasingan.

Katanya PDRM sudah memanggil Badrul Hisham beberapa kali untuk membantu siasatan selain mengeluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

"Beliau terima notis tersebut tetapi menyatakan keengganan untuk hadir.

"Justeru pihak saya tak ada pilihan lain selain keluarkan waran tangkap," katanya semasa memberikan sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi malam semalam.

Mohd Shuhaily Mohd Zain

Mohd Shuhaily juga berkata enam kes berasingan yang dirujuk kepada polis itu adalah berdasarkan laporan yang dibuat terhadap siaran TikTok Badrul Hisham yang didakwa mengandungi kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dan unsur hasutan.

Antara lain, katanya, Badrul Hisham mempersoalkan dakwaan "double standard" kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja-raja Melayu

“Terdapat banyak unsur fitnah dalam kenyataannya,” kata Mohd Shuhaily.

Lihat Komen
ADS