'Saya bahkan minta orang lain jadi timbalan presiden’
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan bahawa parti itu mengeluarkan arahan agar lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Malah katanya, dia sendiri meminta agar dicalonkan orang lain bagi jawatan yang disandangnya itu.
Tegasnya, PAS sama sekali tidak pernah menghalang mana-masa PAS kawasan untuk mencalonkan sesiapa bagi mana-mana jawatan.
“Ada pihak menuduh kononnya PAS mengeluarkan arahan agar top 5 (lima jawatan tertinggi) tidak dipertandingkan. Saya ingin tegaskan bahawa parti tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk mana-mana jawatan.
“Bahkan saya sewaktu merasmikan mesyuarat agong beberapa kawasan, memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan timbalan presiden,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu PAS mengumumkan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presidennya akan kekal memegang jawatan dan pemilihan parti itu hanya akan mempertandingkan jawatan ahli jawatankuasa Pusat.
Ini bermakna Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden PAS untuk tahun tahun ke-21, selepas menggantikan Allahyarham Fadzil Noor pada 2002.
Ketika ini jawatan timbalan presiden disandang Tuan Ibrahim, manakala tiga jawatan naib presiden diisi oleh Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.
PAS akan mengadakan muktamar tahunan mereka di Shah Alam pada 20 hingga 22 Okt ini. Kali terakhir PAS mengadakan pemilihan ialah pada 2021.
Pengumuman itu sekali gus dikritik parti lawan antara lain mendakwa PAS lebih tidak demokratik berbanding Umno.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang jug ahli Parlimen Kubang Kerian berkata jawatan adalah suatu amanah yang perlu dipikul seandainya dipilih.
“Berkat kerjasama jemaah insya-Allah jemaah ini akan terus diberkati Allah.
“Apakah yang mendukacitakan kamu seandainya bebanan yang kamu pikul diangkat dari pundakmu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/bd2d02a40624d406c3302bcbba122391.jpg)
