Seorang ahli perniagaan yang juga kenalan rapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dia berhasrat menubuhkan parti politik baru berasaskan kaum India di negara ini.

Dalam sidang media hari ini, 'Oms' P Thiagarajan menjelaskan, bahawa kenyataannya dalam satu majlis di Klang, baru-baru ini hanyalah bermaksud bahawa dia hanya mahu menyampaikan hasrat itu untuk pihak lain.

"Saya sentiasa menjadi ahli NGO dan merasakan tiada apa yang boleh dicapai dengan memulakan parti politik. Apa yang saya katakan sebelum ini hanyalah perkongsian maklum balas yang diberikan oleh mereka yang menghadiri majlis itu minggu lepas.

"Bagi saya, hanya orang gila akan tubuh parti politik baru lepas Anwar jadi perdana menteri. Saya bukan gila, malah saya sentiasa menentang parti-parti politik yang mengabaikan hak rakyat.

"Kalau kita lihat pengalaman saya, saya sentiasa bersama pembangkang. Sekarang saya dah berusia 70 tahun dan tidak boleh lagi menjadi pembangkang lagi," katanya kepada pemberita di Klang, hari ini.

Bagaimanapun, dia menambah bahawa dia tidak akan menghalang sekiranya pihak yang lain ke majlis itu bertindak menubuhkan parti baru.

Sebelum ini, Thiagarajan ketika berucap pada majlis "Komuniti India ke arah Masa Depan yang Lebih Cerah" di Klang pada 8 Okt, berkata dia akan berbincang dengan Anwar berhubung penubuhan parti politik baru setelah majoriti hadirin pada majlis tersebut menyatakan hasrat berkenaan.

Pada majlis yang dihadiri lebih 400 orang terdiri daripada pemimpin dan wakil NGO daripada kalangan masyarakat India, Thiagarajan ketika itu berkata, segala keputusan yang dibuat pada majlis itu akan disampaikan kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa Anwar tidak menyokong atau memperakui mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baru.

PMO dalam satu kenyataan media tanpa menyebut sebarang nama, berkata, pihaknya memandang serius tindakan mana-mana kumpulan yang secara sengaja menyalahgunakan nama perdana menteri tanpa kebenaran pihaknya.

Kata mereka, tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti perdana menteri dan pentadbiran kerajaan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan PMO, Thiagarajan berkata bahawa dia percaya kenyataan tersebut tidak merujuk kepada majlis yang dihadirinya.

"Kenyataan itu tidak kena mengena dengan majlis kita. Kenyataan itu tidak menyebut nama, tempat, siapa dan di mana.

"Jadi, saya percaya kenyataan tidak merujuk kepada majlis itu,” katanya.

Thiagarajan juga berkata dia telah menjelaskan spekulasi yang dikaitkan dengan dirinya itu kepada Anwar.

"Saya telah berkomunikasi dengan Anwar menerusi teks WhatsApp.

"Saya telah menjelaskan kepadanya dan dia telah menerima penjelasan saya," katanya.