Semua ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan sebulat suara kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) hari ini susulan tindakan ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mulai semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka juga mengecam intimidasi dan ugutan yang didakwa dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas sesiapa sahaja, termasuk ke atas ahli-ahli Parlimen.

“Pagi tadi ahli-ahli Parlimen Bersatu bermesyuarat dan mendapat taklimat terkini daripada (Pengerusi Bersatu) Muhyiddin Yassin dan (Setiausaha Agung) Hamzah Zainudin, termasuklah mengenai isu ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Semua ahli Parlimen Bersatu mengecam intimidasi dan ugutan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas sesiapa sahaja, apatah lagi ke atas ahli-ahli Parlimen.

“Ahli-ahli Parlimen Bersatu juga sebulat suara menyatakan sokongan penuh kepada parti dan Perikatan Nasional, selaras menafikan propaganda musuh mengenai hal ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Iskandar Dzulkarnain menyuarakan sokongan kepada Anwar, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.

Dia dilaporkan berkata, keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan.

Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Hamzah mendakwa SPRM mengugut wakil rakyat Kuala Kangsar itu supaya menyokong Anwar atau berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.