Ketua Pemuda Amanah Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda berkata dia berminat mempertahankan jawatan ketua Pemuda pada pemilihan sayap Pemuda Amanah Nasional yang akan berlangsung November ini.
Katanya, atas rasa tanggungjawab, dia mahu meneruskan pelbagai agenda Pemuda Amanah yang telah dirancang.
"Ya. Saya akan kekal pertahankan (jawatan).
"Saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan kerja-kerja yang belum selesai serta berazam hendak mengangkat Pemuda Amanah ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Hasbie berkata dia mengetahui terdapat beberapa individu lain yang juga berminat untuk dipilih ke jawatan berkenaan, namun tidak pasti siapakah calon-calon tersebut.
"Dengar-dengar macam ada (pencabar), tapi tak ada kepastian, cuma memang akan pertahankan sekiranya dicalonkan (dipilih perwakilan)," katanya lagi.
Hasbie dipilih menjadi ketua Pemuda Amanah menggantikan Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 6 Ogos 2021.
Konvensyen sayap Pemuda Amanah dijangka berlangsung November ini dan diikuti konvensyen di peringkat negeri pada Disember.

Selain Hasbie, Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid antara calon ketua baru yang dikatakan mendapat sokongan perwakilan Pemuda kawasan.
Danial yang juga Adun Batu Tiga di Shah Alam sebelum ini berkata dia yakin mampu meletakkan Pemuda Amanah Nasional sebagai sayap yang lebih berkesan dan disegani.
"Jika terpilih dan diberikan tanggungjawab, saya ingin menumpukan usaha memperkuat Pemuda Amanah," katanya.
Pada masa sama Danial berharap langkah diambilnya itu tidak membawa kepada perpecahan dalam kalangan ahli Pemuda Amanah terutama selepas berakhirnya pemilihan nanti.
Bagaimanapun dia tetap menyerahkan kepada pertimbangan perwakilan untuk menyambut tawaran berkenaan yang dibuat melalui amalan demokrasi.
Anak kepada seniman Allahyarham Harun Salim Bachik itu berkata ahli Amanah berhak memilih sesiapa saja yang dianggap mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua.
"Kita tak boleh tutup pintu demokrasi," katanya lagi.
Pemilihan untuk jawatan dalam parti Amanah berbeza daripada kebanyakan pertubuhan politik lain.
Berbanding dipilih secara langsung, dalam Amanah pelantikan ketua dibuat melalui musyawarah dalam kalangan sekumpulan calon yang mendapat undi tertinggi.
Pemilihan jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional akan dijalankan dengan setiap kawasan mencalonkan 27 orang ahli ke peringkat nasional.
Mereka kemudian akan dipilih oleh perwakilan di konvensyen sebelum 27 calon tertinggi bermesyuarat pula untuk melantik ketua dan jawatan lain.
