PARLIMEN | Seorang ahli parlimen Perikatan Nasional menggesa kerajaan menyegerakan pembentangan rang undang-undang yang dicadangkan oleh PAS - ketika parti itu menjadi sebahagian anggota kerajaan sebelum ini - mengenai sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam di Wilayah Persekutuan.

Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata undang-undang syariah peringkat persekutuan diperlukan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kuasa untuk menyiasat sebarang aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

"Adakah kerajaan akan segerakan bentang akta kawalan ini di parlimen memandangkan kebenaran itu memang telah diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan?

"Tanpa undang-undang bertulis, aduan tidak dapat disiasat dan dibenteras.

"Sekiranya kuasa diberi Perlembagaan Persekutuan tidak diterjemahkan melalui penggubalan akta ini di peringkat Wilayah Persekutuan, peruntukan perlembagaan tersebut akan menjadi sia-sia kerana tidak boleh dikuatkuasakan," katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024, mengenai peruntukan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

ZUlkifli memetik Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penggubalan undang-undang yang menghalang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam, sebagai "sumber kuasa" untuk rang undang-undang baru yang dicadangkan itu.

Pada 2021, ketika PAS menjadi sebahagian kerajaan persekutuan pimpinan BN, timbalan menteri agama ketika itu Ahmad Marzuk Shaary (gambar, bawah) mendedahkan rancangan untuk merangka empat undang-undang syariah baru, termasuk Rang Undang-undang Kawalan dan Sekatan terhadap Penyebaran Agama Bukan Islam .

Selanjutnya, Zulkifli hari ini menyatakan peruntukan peringkat negeri yang dikuatkuasakan di sepuluh negeri, kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, menyediakan sekatan terhadap orang bukan Islam menggunakan istilah eksklusif untuk orang Islam - termasuk Allah, baitullah, Kaabah dan lain-lain.

"Peruntukan undang-undang ini boleh membantu kerajaan mengekang penyalahgunaan kalimah Allah di peringkat Wilayah Persekutuan," katanya.

Zulkifli turut bertanya jika kerajaan akan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk Jakim mengambil lebih ramai kakitangan profesional, dengan memberi tumpuan aspek penyelarasan undang-undang berkaitan syariah di peringkat negeri dan persekutuan.