Loke: K’jaan belum berhasrat kawal selia tambang e-hailing
PARLIMEN l Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini berkata kerajaan belum berhasrat untuk mengawal selia tambang perkhidmatan e-hailing, buat masa ini.
Ini termasuk cadangan penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dengan pengguna.
“Bagi saya, sekiranya harga lantai ditetapkan, tambang ke atas pengguna juga mungkin meningkat. Pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan serta jumlah penawaran, menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.
"Justeru, harga tambang juga fleksibel mengikut padanan faktor semasa," katanya pada sesi jawab lisan ketika menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kita perlu melihat pada keseimbangan, di mana e-hailing menggunakan mekanisme harga dinamik yang bergantung kepada bekalan dan permintaan.
Buat masa ini, Loke berkata, kementeriannya tidak mengamalkan kawalan harga atau tidak menetapkan suatu harga lantai, selain kadar yang ditetapkan untuk pemandu e-hailing oleh pihak syarikat.
"Sekiranya kadar itu dinaikkan, ia akan memberikan implikasi, iaitu kadar ke atas pengguna akan meningkat.
Jika itu dilaksanakan, Yang Berhormat akan datang balik ke Dewan ini membuat aduan bahawa kadar e-hailing untuk pengguna sudah meningkat.
"Dasar sedia ada dikekalkan tetapi kita akan terus berhubung serta mengadakan perbincangan dengan syarikat e-hailing supaya ada atau mencari satu kaedah tanpa kita memberi syarat, sebaliknya melihat apa faedah boleh diberikan syarikat e-hailing kepada pemandu mereka untuk meningkatkan pendapatan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/ea5be42da25ba74fadbf591f572fa223.jpg)
