Perwakilan Bersatu tolak hasrat Muhyiddin untuk berundur
Perwakilan Bersatu dalam perhimpunan agung parti itu hari ini sebulat suara menolak hasrat Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti itu tahun depan.
Selain itu, mereka menolak untuk mengadakan mesyuarat bagi mencari pengganti Muhyiddin dan memutuskan bahawa perhimpunan agung tahunan kali ini bukan yang terakhir bagi ahli parlimen Pagoh itu.
Perkara itu ditolak ketika sesi perbahasan ucapan dasar Muhyiddin hari ini. Sebanyak 20 pembahas telah menyampaikan pandangan masing-masing kepada pimpinan tertinggi Bersatu pada perhimpunan agung tahunan yang diadakan di IDCC, Shah Alam.
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dalam ucapan penggulungannya berkata para perwakilan bukannya cuba membodek Muhyiddin.
"Dia bukan perdana menteri. Kami sokong kerana dia baik. Dia tidak mencuri. Dia tidak terlibat langsung dalam A&W," katanya.
Semalam, Muhyiddin menyatakan hasrat tersebut pada ucapan dasar presiden dan mendapat reaksi mengejutkan dari perwakilan.
Dia berkata keputusan tersebut diambil bagi memberi peluang barisan kepimpinan baru mengambil alih parti tersebut.
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kemudian menolak pengumuman itu dalam satu mesyuarat tergempar pada petang hari yang sama.
"Mesyuarat telah sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti.
"MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam kenyataan, semalam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/d257e2ba70620c4f1f1705e4fd4861bf.jpg)
