Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Baik beri peruntukan terus pada rakyat, bukan melalui MP cerca k'jaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata adalah lebih baik peruntukan parlimen diberikan terus kepada rakyat dan tidak melalui ahli parlimen yang memburuk-burukkan kerajaan.

Anwar memberitahu Kongres Nasional PKR 2023 hari ini, bahawa peruntukan itu akan disalurkan terus kepada rakyat melalui program pembangunan kerajaan.

“Dia (pembangkang) katakan kita menafikan hak wakil rakyat. Tak betul…Elaun wakil rakyat itu tak pernah kita singgung

"Peruntukan bagi kawasan kita tambah, saya sebut di parlimen, peruntukan di kawasan PAS, atau Bersatu, di kawasan parlimen, kita teruskan. Sekolah, masjid, perubahan semua kita lakukan. Apa-apa projek pembangunan.

"Tetapi kita tak salur kepada ahli parlimen, yang penting kita salurkan kepada rakyat. Mengapa kita nak salur kepada ahli parlimen yang hari-hari cerca kita, yang nak menumbangkan kita, maki kita?

"Yang penting kita masih memberi kepada rakyat," katanya.

Anwar, yang merupakan presiden PKR, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada kongres yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Kenyataannya itu dibuat ketika Anwar menyangkal dakwaan pembangkang bahawa kerajaan telah merasuah empat ahli parlimen Bersatu untuk menyokong kepimpinannya.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun mengecam pembangkang yang meminta bantuan daripada kerajaan selepas melemparkan pelbagai tuduhan.

"Siapa kita (pada pandangan mereka)? Orang yang mencemar Islam, orang yang mengkhianati Melayu. Lepas tu, kamu cari lainlah.

"Kamu pun dah pilih seorang tokoh untuk jadi penasihat kamu. Biar dia carilah orang (untuk bantu).

"Orang yang hentikan peruntukan sekolah agama, orang yang menentang hukuman syariah. Itu lebih Islam daripada kami? Pergilah kepada mereka," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar turut mengarahkan pemimpin parti di semua peringkat mendaftar untuk koperasi PKR yang dinamakan Kira.

Dia berkata koperasi itu merupakan satu inisiatif yang melangkaui agenda politik dan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota parti.

Lihat Komen
ADS