Solidariti Palestin akhiri kepungan enam hari di Kedutaan AS
Kepungan” enam hari di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur bagi membantah serangan Israel di Gaza berakhir tengah malam tadi dengan mesej jelas bahawa jutaan rakyat Palestin masih berdepan penindasan.
Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua berkata pihaknya tidak akan berhenti bertindak hingga keamanan dan kedaulatan Palestin terjamin serta menyeru gencatan senjata segera dilaksanakan.
Tian Chua yang mengetuai bacaan deklarasi di hadapan kira-kira 200 hadirin turut mengulangi tuntutan mereka termasuk kutukan terhadap tentera Israel dan sekutu dari Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Joe Biden.
“Mulai hari ini, 1 Jan 2024 dan setiap hari ini, rakyat Malaysia akan teguh berdiri dalam bersolidariti dengan rakyat Palestin.

“Kami tidak akan berganjak dari komitmen kami untuk memperjuangan dan kami akan terus mempergiatkan usaha kempen kami untuk mencapai keamanan, keadilan, keselamatan dan maruah untuk Palestin yang berdaulat,” katanya.
Laungan "dari sungai ke laut, Palestin akan bebas" berulang sepanjang malam, serta mesej kritikan yang disasarkan kepada Biden.
Lokasi protes, kira-kira 200 meter dari bangunan kedutaan dipilih kerana peranan AS sebagai sekutu utama kepada rejim Zionis Israel.
Perhimpunan selama enam hari bermula 26 Disember lalu itu disertai pelbagai NGO dan tokoh politik.
'Bukan perang, tetapi pembunuhan beramai-ramai'
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang hadir memberi ucapan malam tadi turut menekankan keperluan untuk rakyat di negara ini Malaysia mengambil pendirian yang lebih kuat terhadap AS.
"Ya, kita perlu mempunyai hubungan dengan mereka (AS) kerana perdagangan, tetapi ada cara lain untuk menunjukkan penolakan kita terhadap pendirian mereka dalam pembunuhan Palestin," katanya.

Mahathir berkata dia telah melihat banyak kekejaman tentera Israel yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Adalah jelas bagaimana mereka (Israel) berharap untuk memusnahkan Palestin. Ini bukan peperangan, tetapi pembunuhan beramai-ramai.
“Ini adalah sesuatu yang dikutuk oleh semua warga dunia. Tetapi Israel tidak peduli dan mereka meneruskan usaha untuk membunuh rakyat Palestin,” kata Mahathir.
Mahathir berkata Israel tidak akan berjaya memusnahkan Palestin kerana akan ada generasi yang masih hidup yang akan meneruskan perjuangan mereka untuk membebaskan bumi Palestin.

Hadir sama memberi ucapan, Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menegaskan AS perlu memberi perhatian terhadap kemarahan global terhadap peranan mereka dalam menyokong Israel.
"Amerika sebagai kuasa besar, harus berbangga jika mereka berperang dengan Rusia atau China, tetapi ini dengan kumpulan tanpa negara," katanya.
Mohamad berkata AS pernah dipuji kerana menamatkan perhambaan tetapi reputasi pentadbiran negara itu telah tercalar pada hari ini dan satu-satunya penyelesaian ialah menamatkan perang di Gaza.
“Sejarah akan mencatatkan sokongan mereka terhadap pembunuhan wanita dan kanak-kanak di negara pengganas (Israel),” tegasnya.

Turut sama berucap menggesa agar gencatan senjata serta-merta dilakukan dan dikekalkan adalah Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP Sheikh Umar Ali Bagharib, dan timbalan presiden PSM S Arutchelvan.
Sementara itu, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan mengingatkan bahawa isu Palestin bukanlah isu agama.
“Ia adalah isu mengenai kuasa, kerana Israel ingin merampas tanah milik rakyat Palestin.
“Ini adalah isu hak asasi manusia,” katanya.

Ambiga turut memuji kerajaan Afrika Selatan atas tindakannya memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai (genosid).
Bekas pengerusi Bersih itu juga menyampaikan mesej hormatnya untuk rakyat Palestin.
“Kamu menunjukkan keberanian, ketabahan yang tidak dimiliki oleh penindas kamu.
"Penduduk Gaza, kami mahu anda tahu, bahawa rakyat di seluruh dunia menyokong kamu dalam jumlah yang besar," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/d4b7c0a707d6a5c9b47564a7176d5dae.jpg)
