Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman agar tidak membuang masa dengan memperkenalkan Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA).

Zaid berkata meskipun FTPA mempunyai kelebihan, namun pelaksanaannya akan mencetuskan huru-hara dalam pentadbiran kerajaan yang merupakan kerajaan campuran dan terdiri daripada 19 parti komponen.

"Ia akan menjadi huru-hara. Sebuah parti tunggal yang besar seperti Konservatif atau Buruh mengawal kerajaan Britain, dan penggal tetap berjaya kerana kestabilan terjamin, bukan kerana penggal tetap tetapi kerana kekuatan parti pemerintah," kata Zaid dalam satu kenyataan di laman X hari ini.

Bagaimanapun di Malaysia, kata Zaid, FTPA hanya akan membawa kepada 'kestabilan yang dibuat-buat'.

Zaid, yang juga seorang peguam, mendakwa pengenalan FTPA adalah percubaan untuk "menguatkan sebuah parti yang lemah" iaitu PKR - menggunakan kaedah penggal tetap.

“Ia seperti presiden parti yang mahu berkuasa tetapi tiada pemilihan.

“Di sini, gabungan itu besar dan poros. Pergerakan ahli tidak dapat dielakkan. Demokrasi di sini memerlukan masa untuk matang,” tambahnya.

Justeru dia mengingatkan mereka yang berkuasa agar "jangan terlalu gusar untuk memerintah bagi tempoh yang lama dengan cara yang dibuat-buat".

“Apabila kamu bagus dan disenangi oleh orang ramai, itulah penggal tetap yang anda akan peroleh.

“(Tidak perlu) menggubal undang-undang jika kamu mendapat penggal tetap tetapi kerana parti yang mengawal, iaitu PKR, kecil, akan ada pergolakan dalaman dalam gabungan itu. Tunggu masa saja.

"Kerajaan akan jadi huru-hara, tapi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya kerana undang-undang penggal tetap," kata Zaid.

Semalam, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) akan menjalankan kajian mendalam bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai akta tersebut.

Dia berkata sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan tidak lama lagi dan dapatan daripada kajian itu akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian bagi mengalu-alukan cadangan memperkenalkan rang undang-undang khas yang akan memastikan kerajaan kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun penuh - yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

'Lakukan reformasi asas sebenar'

Zaid berkata penggubalan FTPA bukan langkah reformasi, melainkan kawalan untuk membendung perbezaan pendapat terhadap pemimpin kerajaan sekarang.

Sebaliknya, dia menasihatkan Azalina supaya menumpukan pelaksanaan reformasi asas sebenar seperti memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Akta SPRM 2009.

“Jangan gunakan institusi seperti SPRM sebagai senjata. Jadikan mereka berdikari.

“Kamu juga boleh memberi mandat kepada peguam negara (AG) untuk memberikaqn alasan setiap kali dia menggunakan ‘budi bicaranya yang tidak terikat’. Boleh untuk mengatakan AG mempunyai budi bicara mutlak, tetapi anda boleh memaksanya untuk memberikan alasan.

"Itu pembaharuan sebenar," katanya.

Zaid turut mempersoalkan apakah matlamat untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi menyekat kebebasan berpersatuan wakil rakyat - agar undang-undang anti-lompat parti diluluskan- telah tercapai.

“Perlembagaan parti politik dipinda untuk memaksa ahli parti patuh pada pemimpin parti, tetapi adakah kita mencapai kestabilan dalam parti-parti ini?”soalnya.