PAS bakal mengadakan program pemukiman khusus bagi membincangkan pelan strategi menarik sokongan pengundi bukan Islam kepada parti tersebut.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali, berkata parti itu perlu menguasai isu berkaitan bukan Muslim jika ingin menjadi parti dominan dalam kerajaan sama ada diperingkat negeri mahu pun persekutuan.
Katanya, susulan ucapan dasar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menekankan mengenai pengaruh PAS dalam kalangan bukan Islam masih tidak memuaskan, lajnahnya mahu merangka pelan untuk menjadikan parti terbabit pilihan orang bukan Islam.
Ahli Parlimen Kapar itu berkata, pihaknya menyasarkan tahun 2030 sebagai detik matlamat tersebut dapat dicapai.
“PAS mahu menjadi parti dominan dan kerajaan di Selangor dan juga Pusat. Sudah tentulah kita perlu menguasai isu non-Muslim sehingga mereka menjadikan PAS parti pilihan mereka.
“Sebab itu kita mahu semua negeri bersama-sama dalam retreat (pemukiman) nanti untuk membincangkan bagaimana cara dan pendekatan untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya seperti dilaporkan harakahdaily hari ini.

PAS pernah mendapat sokongan meluas masyarakat bukan Melayu-Islam sebelum ini sehingga menyaksikan parti itu berjaya memenangi kawasan campuran, sama ada di peringkat dewan undangan negeri atau parlimen.
Parti itu juga menubuhkan badan khas untuk menampung sokongan bekenaan, iaitu Kelab Penyokong PAS, sebelum dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS pada Mei 2010.
PAS juga beberapa kali menamakan individu bukan Islam untuk bertanding mewakili parti berkenaan dalam pilihan raya.
Langkah tersusun, bijaksana
Bagaimanapun pendekatan PAS yang berbeza sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan masyarakat bukan Islam - khususnya kaum Cina - menjarakkan diri.
Semasa PAS menjadi kerajaan untuk seketika pada 2020 hingga 2022, Ketua DHPP, N Balasubramaniam, dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.
Halimah berkata pemukiman PAS itu bakal diadakan selama dua hari mulai 19 Jan ini dan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kata Halimah, dia yakin kehadiran Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu akan dapat menguatkan lagi strategi PAS menarik sokongan pengundi bukan Islam.
Sebelum ini, Abdul Hadi mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam setelah berjaya menguasai sokongan Melayu di empat negeri pada PRN baru-baru ini.
“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” katanya dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-69 di Shah Alam pada 20 Okt tahun lalu.
