Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Lebih 100 orang penghantar makanan Grab berhimpun di ibu pejabat syarikat itu di Petaling Jaya, Selangor petang tadi bagi membantah penurunan kadar bayaran penghantaran untuk mereka.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penurunan kadar asas daripada RM5 kepada RM4.

Penghantar yang ditemui Malaysiakini, Aidil Ishak berkata mereka dimaklumkan berkenaan penurunan itu secara tiba-tiba pada 16 Januari lalu.

"Kami tidak tahu kenapa mereka turunkan harga, sebab itu kami datang ke sini. Mereka hantar mesej pada 16 Januari dan mengatakan ia isu teknikal," kata pemuda berusia 30 tahun itu.

Aidil berharap Grab akan mengembalikan kadar bayaran seperti sebelum ini, iaitu RM5 ke atas.

"Kami nak macam dulu, kalau RM5 bolehlah," katanya.

Aidil Ishak

Wakil Persatuan Rakan Penghantar Melaka Yasser Rosli, 40, pula berharap kerajaan campur tangan berkenaan perkara itu.

"Kami meminta pihak kerajaan supaya lebih mendengar keluhan rider sebab makin hari makin ketara penindasan terhadap kami," katanya yang bertolak dari negeri itu untuk menyertai protes hari ini.

Semalam, persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyifatkan pemotongan kadar tanpa rundingan itu "sangat tidak menghormati" perbincangan yang telah dibuat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Isu itu dibangkitkan dengan perdana menteri pada sesi Temu Anwar di Petaling Jaya. Terdapat juga perbincangan dengan menteri pengangkutan, menteri komunikasi dan menteri sumber manusia di pejabat perdana menteri.

“Ketika itu, semua syarikat penyelia termasuk GrabFood bersetuju untuk menyemak semula kadar upah bagi pemandu mereka," menurut persatuan itu, sambil menegaskan kerajaan perlu mengeluarkan dasar atau garis panduan untuk keseluruhan ekosistem ekonomi gig.

Turut serta dalam protes yang bermula jam tiga petang itu adalah Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang menyuarakan komitmen untuk memastikan keluhan para penghantar makanan dibawa ke Dewan Rakyat.

"Saya akan memastikan semua ahli parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, akan terus membawa suara tuan-tuan dalam dewan rakyat pada Februari nanti,

"Kita akan mendesak kerajaan untuk mempercepatkan akta p-hailing dan e-hailing yang menjaga kebajikan penghantar-penghantar makanan kita," katanya ketika berucap.

Abdul Hakim Abdul Rani (tengah)

Tidak lama kemudian Naib Presiden Persatuan Penghantar p-hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani, 43, masuk ke pejabat untuk berunding dengan pihak pengurusan.

Perbincangan berjalan kira-kira 30 minit dan dia berkata wakil syarikat meminta sedikit masa untuk meneliti keluhan mereka.

"Dia cakap dia pun tak boleh bagi kepastian kerana mahu bercakap dengan pihak pengurusan tertinggi.

"Sekiranya tidak diselesaikan mengikut apa yang kita minta, insya-Allah kita akan turun lagi," katanya lagi.

Para peserta protes bersurai kira-kira jam enam petang.

Lihat Komen
ADS