NGO, parti India gesa k'jaan segera putuskan kedudukan Mitra
Beberapa pertubuhan dan parti politik tampil menggesa kerajaan supaya segera membuat keputusan berhubung kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sama ada diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ini selepas, kenyataan menteri komunikasi merangkap jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini berkata bahawa jemaah menteri akan membincang semula mengenai kedudukan unit tersebut.
Bagi Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MMIP) S Subramaniam, lebih sebulan sudah berlalu, tetapi kerjaan masih gagal memberikan sebarang keputusan.
"Saya nampak, kerajaan masih tidak membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai kedudukan Mitra. Nak kekal dengan KPN atau dipindah semula ke JPM.
"YB Fahmi pada awal Jan ini berkata jemaah kabinet akan bincang isu Mitra. Tetapi, sehingga kini belum ada kenyataan rasmi.
"Ini dah masuk bulan Feb. Tapi, belum ada sebarang pengumuman sama ada boleh mohon untuk geran atau tidak. Maka, kami minta kerajaan segera umumkan kedudukan unit tersebut, " katanya kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi, kebimbangan yang sama dikongsikan oleh Persatuan Kebajikan Cahaya Wawasan Selangor dan Yayasan Keagamaan Hindu Selangor.
"Selepas PRU Ke-14, Mitra daripada JPM telah dipindahkan kepada KPN.
"Kami dapat melihat sewaktu itu Mitra tidak dapat menyelaraskan dan tanggungjawab penuh mereka dengan jabatan lain atau kementerian lain kerana dipercayai tidak mempunyai kuasa secukupnya dalam pelaksanaan dan pengagihan keperluan rakyat keseluruhan," kata pengerusinya, Dr MM Raman.
Manakala, Setiausaha Kehormat Yayasan Keagamaan Hindu Selangor S Shan berkata yayasan itu berasa terkejut dengan keputusan kerajaan.
"Kini kami terkejut apabila Mitra akan diletakkan di bawah KPN.
"Kami bagi mewakili pihak masyarakat India memohon jasa baik perdana menteri agar unit tersebut dikekalkan di bawah JPM," katanya.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk membincangkan kedudukan semula Mitra selepas diletakkan semula di bawah KPN.
Katanya, perbincangan itu akan diadakan selepas KPN mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan.
Pada 23 Disember, Anwar pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya memaklumkan bahawa Mitra dikembalikan semula ke KPN.
Perdana menteri memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa memantau unit khas itu yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.
Katanya, masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran Mitra yang diletakkan di kementerian berlainan kerana peraturan telah ditetapkan, peruntukan diluluskan dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi mengelakkan berlakunya lagi salah guna kuasa atau penyelewengan.
Namun, keputusan itu dikecam oleh parti politik dan pemimpin masyarakat India menyifatkan tindakan itu mengelirukan dan memperkecilkan peranan unit tersebut.
MIC ketika itu berkata keputusan itu mengecewakan dan pihak berkepentingan masyarakat India tidak dirujuk sebelum Mitra dikeluarkan daripada JPM.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan berkata bahawa masyarakat sudah letih dengan politik di Mitra.
"Hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa Mitra ditendang seperti bola sepak dengan sasaran dan matlamat yang tidak bermatlamat oleh pelbagai kerajaan sejak Pakatan Harapan memerintah pada 2018.
"Situasi yang sama tidak timbul di Teraju, agensi serupa Mitra yang ditubuhkan pada 2011 oleh Persekutuan Kerajaan di bawah JPM untuk memperkasakan pembangunan sosioekonomi masyarakat Bumiputera," katanya.
Tambahnya, ahli politik perlu menjauhkan diri dalam hal pengurusan Mitra.
"Melantik pemimpin parti politik untuk menganggotai pengurusan Mitra adalah satu kesilapan besar.
"Sebaliknya pihak berkepentingan yang boleh dipercayai dan berpengalaman atau pegawai kanan perkhidmatan awam kerajaan yang telah bersara hendaklah dilantik dalam Mitra untuk membimbing dan menyemak matlamat dan impak Mitra secara berkala," katanya.
Katanya, dia memandang serius sentimen semasa dalam kalangan masyarakat India yang mungkin menyebabkan kesan yang ketara kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Namun, begitu saya masih mempunyai kepercayaan dan harapan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan perdana menteri dalam Kerajaan Perpaduan sekarang untuk memartabatkan dan memperkasakan rakyat dari segi sosioekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi," katanya.
Mitra ditubuhkan pada 2014 sebagai Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) bawah JPM dan dijenamakan semula sebagai Mitra dan dipindahkan ke Kementerian Perpaduan pada 2018 ketika Pakatan Harapan (PH) kali pertama memerintah.
Ia kekal bawah kementerian itu sepanjang Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri tetapi diletakkan semula bawah JPM pada 2022 ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/0bfb17394212e45f50074e633c32d5dd.jpg)
