Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj mencadangkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) supaya bermuhasabah diri selepas agensi itu menyamannya atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan yang dibuat berikutan pengusiran petani dari tanah di Kanthan, Perak.

"PKNP kini menyaman saya kerana memfitnah. Saya menerima kertas mereka pada 2 Feb 2024.

"Saya akan mendapatkan peguam untuk mewakili saya. Pembelaan saya ialah apa yang saya katakan pada 1 Nov 2023 di balai polis. Semua itu adalah kenyataan fakta yang benar.

"Sekiranya reputasi PKNP telah terjejas teruk, mungkin mereka harus melihat cermin dan cuba memikirkan aspek mana yang tidak disenangi oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dipetik oleh Malaysiakini, PKNP mendakwa kenyataan Jeyakumar adalah fitnah kerana secara palsu mencadangkan bahawa badan berkanun itu telah melanggar perintah interim mahkamah.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah interim terhadap pengusiran enam petani Kanthan. Keputusan itu adalah berhubung semakan kehakiman berterusan berkaitan petani, yang ditetapkan untuk pendengaran pada bulan depan.

PKNP berkata Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 Jan tahun ini memutuskan bahawa plaintif tidak melanggar perintah interim mahkamah, dan menolak permohonan petani untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina terhadap badan berkanun itu.

Plaintif berhujah bahawa walaupun petani telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, perintah Mahkamah Tinggi itu sendiri masih sah dan boleh dikuatkuasakan.

PKNP mendakwa reputasinya terjejas akibat kenyataan Jeyakumar, antaranya bakal pelabur, rakan niaga dan orang ramai di Perak mula kehilangan keyakinan terhadapnya.

Plaintif, yang berbangga dengan pembangunan sosio-ekonomi telah menerima tindak balas negatif (backlash) daripada orang awam; hilang kepercayaan dari pekerja-pekerjanya dan ini telah menjejaskan semangat mereka.

Badan itu juga mengatakan telah kehilangan kelebihan daya saing dan kelebihan berbanding syarikat lain di Perak.

Sehubungan itu PKNP menuntut Dr Jeyakumar dan PSM untuk relif-relif termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, serta perintah untuk memaksa Jeyakumar dan PSM menerbitkan permohonan maaf.

Plaintif juga memohon injunksi untuk membuang kesemua penerbitan dan video sidang media itu, serta perintah untuk menghalang Jeyakumar dan PSM daripada mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

[Baca berita penuh]