Enakmen Syariah: Mais sokong MKI kaji kompetensi negeri
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) komited untuk bersama-sama membantu jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji memperkasa undang-undang jenayah syariah, dengan memberikan cadangan dan idea.
Pengerusinya Aziz Mohd Yusof berkata ini selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberi peluang kepada jawatankuasa itu menjalankan tugasnya.

“Mais komited untuk bersama-sama membantu jawatankuasa khas mengkaji isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam memberi sumbang saran dan idea untuk memudahkan jawatankuasa menganalisa dan mencadangkan kaedah terbaik bagi memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aziz seterusnya menggesa umat Islam bertenang dan memberi peluang kepada jawatankuasa khas itu menjalankan tugasnya.

Semalam, Sultan Sharafuddin, semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-71, menggesa semua pihak supaya bertenang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan kesahihan beberapa peruntukan jenayah syariah Kelantan.

Dalam penghakiman majoriti 8-1 itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
/file/1120/dbbad4a8c230acbebd8527327f43e1a9.jpeg)
