Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mempertahankan kenyataan "Jumaat yang hitam" dibuatnya sebaik selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan, pada 9 Februari lalu.

Menurut Takiyuddin, itu merupakan respons biasa yang dibuatnya selaku peguam apabila ada kes yang tidak berpihak kepadanya.

"Bila saya kalah kes, saya kata 'ini Isnin yang hitam, atau Selasa yang hitam. Ia hari yang hitam untuk anak guam sanya," katanya dalam nada bergurau ketika sesi dialog antara pemimpin PAS dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur, hari ini.

"Itu (hari yang) hitam untuk kami...kerana undang-undang kami di Kelantan diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan.

"Jadi apa yang saya boleh kata lagi? Jika saya kata 'nothing la, nothing la', itu bukan (respons) orang yang (berfikiran) munasabah," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan pendirian terkini PAS terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan, selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak bertenang dan menerima keputusan itu.

Tanpa menyebut mana-mana pihak secara khusus, baginda bertitah kenyataan seperti 'Jumaat hitam' itu menimbulkan polemik sehingga mengelirukan umat Islam.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menyertai sesi dialog hari ini, mempersoalkan mengapa istilah itu dilihat secara negatif.

"Saya cuba faham mengapa," katanya.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Takiyuddin kemudian mencelah dengan mendakwa ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihukum penjara, slogan "May Day for justice" digunakan.

"Tapi tiada siapa komen pasal itu," katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati slogan "May day for justice" tidak digunakan berkaitan pemenjaraan Anwar.

Namun ia menjadi tajuk kepada buku karangan bekas ketua hakim negara Allahyarham Mohamed Salleh Abas dan K Das, berkenaan krisis kehakiman dan perlembagaan 1988.

Kini lihat secara positif

Dalam keputusannya, Mahkamah Persekutuan menyatakan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

PAS dan beberapa pihak lagi menyifatkan keputusan itu sebagai melemahkan undang-undang syariah di Malaysia.

Bagaimanapun hari ini Takiyuddin berkata kes itu boleh "dilihat secara positif".

Dia berkata ia menunjukkan ada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi "membolehkan orang Islam mengamalkan agama mereka".

Katanya, PAS akan menyokong sebarang langkah kerajaan untuk mengukuhkan undang-undang syariah di negara ini.

Pada masa sama, dia memberi jaminan ia tidak akan memberi kesan kepada rakyat bukan Islam dan kebebasan beragama untuk mereka.

Sementara itu, Takiyuddin berkata hubungan parti itu dengan Raja-raja Melayu kekal positif.

"Kita ada empat menteri besar (dan) tidak ada apa-apa masalah dengan sultan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

"Jadi ia menunjukkan kami boleh bekerja bersama Majlis Raja-Raja," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS