Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Insya-Allah saya jangka mudah-mudahan tak akan habis penggal ini'
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

PAS menganggap perhimpunan aman diadakan Bersih esok sebagai manifestasi kepada rasa tidak puas hati penyokong PH kepada kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa protes NGO pendesak pembaharuan pilihan raya itu dibuat kerana mereka menganggap Anwar Ibrahim dan pasukannya gagal melaksanakan agenda reformasi.

Pada masa sama Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menghantar isyarat bahawa bantahan Bersih itu - yang didakwanya pertubuhan teras menyokong PH - mungkin menjadi permulaan kepada kejatuhan kerajaan perpaduan.

Katanya, ia boleh berlaku jika hak rakyat untuk bebas bersuara disekat dan pada masa sama orang ramai terus menanggung beban kenaikan kos sara hidup.

“Bila nak berlaku perubahan ini? Insya-Allah saya jangka mudah-mudahan tidak akan habis penggal ini.

"Kalau tengok realiti 22 bulan PH dahulu memerintah pun, tiada ribut dan tiada taufan tiba-tiba kerajaan bertukar.

“Tetapi kali ini dengan tekanan rakyat dan Bersih pun keluar kenyataan akan mengadakan demonstrasi ke parlimen, BERSIH ini core (teras) sokongan kepada PH.

"Mereka pun mulai melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan ini,” katanya yang dipetik harakahdaily hari ini.

Bekas menteri kerajaan PN itu berucap pada majlis anjuran PAS Kubang Kerian di Pasir Tumboh, Kelantan malam tadi.

Bersih merancang untuk menghantar memorandum kepada kerajaan di parlimen esok bagi mendesak agar pembaharuan menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan.

Menggunakan tanda pagar #Reformasi100Peratus, Bersih mengemukakan tiga tuntutan iaitu menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan, mewujudkan had tempoh untuk jawatan perdana menteri seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan raya PH, dan menyemak dan memansuhkan undang-undang yang dianggap zalim seperti Akta Hasutan.

Mengajar orang ramai untuk turut serta, Bersih berkata, mereka akan berjalan dari Tugu Negara ke bangunan parlimen bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Bagaimanapun polis Kuala Lumpur menegaskan tiada tiada sebarang notis diterima daripada Bersih untuk mengadakan perhimpunan tersebut berdasarkan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Justeru pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan perhimpunan berkenaan.

Lihat Komen
ADS