Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nilai ringgit jatuh: PM patut pecat menteri kewangan, kata Hamzah
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

PARLIMEN | Perdana menteri sepatutnya memecat menteri kewangan selepas kejatuhan nilai ringgit, menurut Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dalam kritikan lantangnya terhadap Anwar Ibrahim yang memegang kedua-dua jawatan itu.

Hamzah (PN-Larut) berkata ketika menjadi pembangkang, Anwar lantang mengkritik menteri kewangan sebelum ini ketika nilai ringgit jatuh.

Justeru, dia berkata Anwar juga perlu mengguna pakai piawaian yang sama terhadap dirinya.

"Kalau pada 4 Oktober 2022, ketika menjadi ketua pembangkang Tambun (Anwar) boleh marah menteri kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) sebab ringgit jatuh, sekarang Tambun adalah perdana menteri...patut marah juga menteri kewangan sekarang (Anwar).

"(Anwar) patut pecat menteri kewangan sekarang," katanya.

Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu berkata demikian ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 4 Oktober 2022, Anwar mengkritik Zafrul tidak bimbang dengan kemerosotan nilai ringgit, yang menurutnya menyebabkan harga barang naik.

Ketika itu, nilai ringgit sekitar RM4.64 bagi satu dolar AS.

Pada Selasa lalu, nilai ringgit merosot sekitar RM4.8 bagi satu dolar AS - terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Bagaimanapun kata Anwar, berbeza dengan ketika 1998, keyakinan pelabur terhadap Malaysia pada masa ini kekal tinggi, manakala inflasi dan pengangguran menurun.

Dia juga berkata nilai mata wang serantau turut merosot, sementara Bank Negara menjelaskan yang ringgit berada di bawah paras sebenar dan sewajarnya diniagakan pada tahap yang lebih tinggi.

Selain kenyataan Anwar pada 4 Oktober 2022, Hamzah turut membacakan beberapa lagi petikan yang dikaitkan dengan presiden PKR itu sebelum ini berkenaan kritikannya berkaitan prestasi ringgit.

Antaranya kenyataan yang dilaporkan semasa kempen PRU15 pada 15 November 2022, di mana Anwar dipetik berkata: "Muhyiddin (sebagai perdana menteri), ringgit jatuh. Ismail Sabri (sebagai perdana menteri), ringgit jatuh. Muhyiddin, harga barang naik. Ismail Sabri, harga barang naik. Sebab itu kita kena tukar, (biar) Anwar bagi harga barang turun".

Hamzah turut mengkritik Anwar atas kenyataannya pada Sabtu lalu agar kejatuhan ringgit tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

"Bila kena kat batang hidung sendiri, dia ‘taichi’ habis," kata Hamzah lagi yang menegaskan Anwar, selaku perdana menteri dan menteri kewangan, perlu bertanggungjawab atas prestasi ringgit.

Lihat Komen
ADS