Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap penganjur Women's March Malaysia (WMMY) 2024 atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahya ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 PAA 2012 dan Seksyen 14 Akta 336.

“Selain penganjur menyerahkan notis mereka di bawah PAA, kami (polis) telah menetapkan syarat-syarat (lain).

"Berdasarkan siasatan kami, kami telah membuka kertas siasatan terhadap penganjur kerana melanggar syarat tertentu," kata Dellhan kepada Malaysiakini.

Kedua-dua seksyen itu berkaitan dengan penganjuran perhimpunan - atas dakwaan melanggar syarat yang ditetapkan oleh polis, serta “berkelakuan menghina".

“Kami menyatukan dua-dua seksyen (berasingan). Pada perhimpunan itu ada sepanduk berunsur 'sensitif'.

“Itu antara nasihat (awal) kami kepada penganjur,” katanya.

Seksyen 14 Akta 366 berbunyi: Sesiapa pun yang menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara yang mengugut atau menghina atau menampalkan atau melekatkan atau mempamerkan sebarang kertas bertulis atau lukisan yang kurang sopan mengugut aib atau menghinakan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan atau di mana keamanan mungkin terganggu boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100.

Sementara itu, pelanggaran terhadap syarat-syarat di bawah Seksyen 15 PPA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

Jawatankuasa penganjuran WMMY enggan memberikan komen buat masa ini sehingga maklumat lanjut diberikan berkaitan siasatan, kata seorang jurucakapnya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, penganjur membawa lebih kurang 200 peserta dari kompleks beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka, menyorot pelbagai isu termasuk hak setara untuk kewarganegaraan; gesaan menghormati kewujudan komuniti LGBTQ+; menentang keganasan terhadap wanita; krisis iklim; hak Orang Asli; dan gaji setara untuk wanita.

Hari Wanita Antarabangsa diraikan setiap tahun pada 8 Mac dan himpunan serupa di seluruh dunia tidak hanya meraikan kepelbagaian tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pelbagai isu semasa.

Lihat Komen
ADS