Polis menahan seorang pemilik bengkel kenderaan yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, suspek berusia 68 tahun ditahan di kawasan Kandang pada Selasa, selepas pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Menurut Patit, laporan polis itu dibuat oleh seorang pesara berusia 62 tahun, yang pada Rabu lalu, yang mendengar suspek bercerita tentang Akmal ketika berada di bengkel.
"Suspek didakwa memberitahu 'Ketua Pemuda Umno banyak (cakap) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati'.
"Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki terbabit. Tidak berpuas hati dengan ugutan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Kandang pagi tadi selain bimbang keselamatan Dr Akmal yang juga Adun Merlimau itu," kata Patit kepada media.
Bagaimanapun, lelaki berusia 68 tahun itu, yang mengalami masalah kesihatan, dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Tidak jelas sama ada kes ini ada kaitan dengan ugutan bunuh yang didakwa Akmal dimaklumkan kepadanya semalam.
