Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontrak RM3.9 bilion: Bos Spanco mengaku tidak bersalah tipu MOF

Pengerusi Spanco Sdn Bhd Robert Tan Hua Choon dihadapkan ke di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menipu Kementerian Kewangan (MOF) antara 27 Feb dan 28 Feb 2019 di Putrajaya sehingga dianugerahkan kontrak RM3.9 bilion.

Tan, 83, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Saya faham (pertuduhan), saya tidak salah," kata taikun itu yang hadir bertongkat dengan memakai baju kemeja dan kot biru.

Mengikut kertas pertuduhan Tan didakwa menipu Kementerian Kewangan Malaysia dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh bumiputera di dalam syarikat Spanco Sdn Bhd.

"Dengan itu kamu secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak "Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet” bernilai RM3,966,386,628.00 kepada syarikat Spanco Sdn Bhd, yang mana Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian,” kata kertas pertuduhan.

Timbalan pendakwa raya Mahadi Jumaat kemudian berkata kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah jaminan RM2 juta yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik sekiranya ada, serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan secara terus atau melalui pihak ketiga," kata Mahadi.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan, namun memaklumkan sekiranya pasport ditahan, ia akan menyekat perjalanan anak guamnya.

"Mohon mahkamah membenarkan anak guam melaporkan diri ke pejabat SPRM tiga bulan sekali kerana beliau menghidapi pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, sakit lutut dan sakit tulang belakang. Anak guam juga bukanlah seorang yang berpotensi untuk melarikan diri," katanya pada prosiding yang turut dihadiri peguam pemerhati dari Spanco Sdn Bhd, Razlan Hadri Zulkifli.

Suzana membenarkan Tan diikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak menghubungi saksi pendakwaan secara terus atau melalui pihak ketiga dan melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Spanco, ditubuhkan pada tahun 1988 merupakan pembekal swasta terbesar bagi penyelesaian pengurusan kenderaan kerajaan Malaysia.

Spanco sebelum ini mendapat kontrak menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

Pada 2020 Spanco sekali lagi dianugerahkan pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Lihat Komen
ADS