Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Titah Agong jelas, hentikan polemik isu stoking - Fahmi
Diterbitkan:  Apr 4, 2024 2:50 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah jelas dan semua pihak perlu menghentikan polemik isu stoking tertera kalimah Allah, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Bagi yang beragama Islam, berbangsa Melayu, kedudukan Agong di paras tinggi, paling tinggi, bagi saya - mengingkari titah dan sengaja mentafsirkan (titah Seri Paduka Baginda) dalam cara yang lain, bagi saya kurang sesuailah,” katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh yang masih meneruskan kempen memboikot KK Mart susulan konstroversi stoking itu.

Ini walapupun Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas isu stoking yang tertera kalimah Allah, termasuk menghasut rakyat.

Ketika ditanya Malaysiakini semalam, jika dia akan akur dengan titah Seri Paduka Baginda dan kepimpinan Umno pusat untuk semua pihak berhenti daripada terus memainkan isu berkenaan, Akmal menyoal: "Agong ada larang untuk tidak boikot ke?”

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan.

Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan supaya jangan ada pihak mengambil kesempatan, termasuk menghasut rakyat.

Sambil bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan mereka supaya lebih bertanggungjawab.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan MKT Umno melalui Ahmad Zahid telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti itu berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.

Ahli MKT Umno, Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya itu sudah memadai," kata Bung.

Selain menjadi sasaran kempen boikot, tiga kedai serbaneka kumpulan KK Mart, baru-baru ini juga diserang cubaan bom petrol.

Lihat Komen
ADS