Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu stoking: Kabinet tak bincang tindakan pada Akmal, kata Fahmi
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 10:52 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Kabinet belum berbincang untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kerana meneruskan kempennya memboikot KK Mart, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Dia dilaporkan memberitahu media semalam bahawa walaupun kabinet membincangkan tindakan terhadap mereka yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memanjangkan stokin yang mengandungi kontroversi kalimah Allah, mereka tidak membincangkan mana-mana individu tertentu.

"“Kita tidak bincang khusus mengenai mana-mana satu individu, tapi ia adalah secara umum kepada semua," katanya lapor FMT.

“Saya berpandangan kita perlu junjung titah Tuanku untuk…meredakan keadaan dan tidak menghasut rakyat.

“Jadi kalau mengingkari titah Tuanku, maka ada padahnya lah," kata Fahmi lagi.

Semalam juga, Fahmi dipetik Berita Harian mengingatkan Akmal agar tidak menyalah tafsir dan mengambil kesempatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung isu stoking yang tertera kalimah 'Allah'.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, pemimpin politik sepatutnya mematuhi titah Sultan Ibrahim selaku pemimpin tertinggi negara untuk tidak memanjangkan kontroversi itu.

Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah jelas dan semua pihak perlu menghentikan polemik isu stoking tertera kalimah Allah, kata menteri komunikasi.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Akmal yang masih meneruskan kempen memboikot KK Mart susulan konstroversi stoking itu.

Ketika ditanya Malaysiakini kelmarin, jika dia akan akur dengan titah Seri Paduka Baginda dan kepimpinan Umno pusat untuk semua pihak berhenti daripada terus memainkan isu berkenaan, Akmal menyoal: "Agong ada larang untuk tidak boikot ke?”

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan pada kelmarin.

Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan supaya jangan ada pihak mengambil kesempatan, termasuk menghasut rakyat.

Sambil bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan mereka supaya lebih bertanggungjawab.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan MKT Umno melalui Presidennya Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti itu berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.

Ahli MKT Umno, Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan,” kata Bung.

Lihat Komen
ADS