Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda, PSM mesyuarat malam ini bincang tanding PRK KKB

Menjelang hari penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Bharu hujung minggu ini, Muda dan PSM dijadual bertemu dan membincangkan sama ada mana-mana parti akan meletakkan calonnya menentang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan ketika dihubungi berkata mesyuarat antara pemimpin kedua-dua parti akan diadakan malam ini.

“Ya kita sedang berbincang dengan Muda. Kami ada mesyuarat malam ini.

"Perbincangan adalah sama ada kami (PSM atau Muda) mahu meletakkan calon atau tidak," kata Arutchelvan kepada Malaysiakini.

Secara berasingan, ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda Leben Siddarth berkata parti itu akan diwakili oleh pemangku presidennya Amira Aisya Abdul Aziz.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan bersama (dengan PSM) tidak lama lagi untuk mengumumkan keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

"Sekiranya keputusan dibuat untuk bertanding, calon sama ada daripada Muda atau PSM, dan bukan daripada kedua-dua parti," katanya.

Malaysiakini difahamkan Muda telah mengenal pasti calon yang berpotensi untuk diletakkan, tertakluk kepada keputusan yang akan dibuat oleh kedua-dua pihak.

Sementara itu, PSM mengadakan sidang media esok bagi mengetengahkan isu perumahan yang tidak dapat diselesaikan di Kuala Kubu Bharu, yang menjejaskan pekerja dari lima ladang.

“Pekerja dari lima ladang meminta komitmen serius daripada semua calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu,” kata penyelaras media PSM Sivaranjani Manickam dalam makluman media untuk sidang media itu.

Muda dan PSM telah memeterai pakatan sejak enam pilihan raya negeri tahun lepas, selepas Muda keluar daripada pakatan awalnya dengan PH.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya dari DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Pengundian dijadualkan pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei.

Lihat Komen
ADS