BN menganggap dakwaan salah satu parti komponen dalam gabungan itu akan memilih haluan sendiri hanya sebagai khabar angin yang dilakukan pihak tertentu.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata penegasan MCA untuk terus setia bersama dengan parti lain dalam gabungan berkenaan sudah dimaklumkan oleh pemimpin tertinggi mereka.

Bercakap kepada media di Cheras hari ini, Zambry berkata semua pemimpin dalam BN sentiasa mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa dan tidak ada masalah yang boleh membawa kepada sesuatu parti meninggalkan gabungan berkenaan.

"MCA telah membuat kenyataan bahawa itu hanyalah khabar angin yang cuba dicipta oleh kalangan tertentu.

"Presiden (Wee Ka Siong) dan Setiausaha Agung MCA (Chong Sin Woon) juga telah memaklumkan bahawa perkara itu tidak berlaku," katanya.

Zambry ditemui media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Cheras.

Semalam Malaysiakini yang memetik beberapa sumber melaporkan ahli akar umbi MCA kini berasa tidak selesa dengan kedudukan parti itu dalam BN dan mendesak agar perubahan dibuat.

Selain berasa kecewa diketepikan daripada kerajaan, sumber itu mendakwa ahli MCA juga berpendapat Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sudah tidak relevan untuk memimpin gabungan berkenaan.

Chong (gambar atas) juga dipetik media semalam sebagai mendakwa tiada sebarang perbincangan dibuat dalam MCA berhubung kedudukan mereka dalam BN.

Menurut Zambry, pemimpin parti komponen BN sentiasa berbincang secara terbuka dalam hal-hal membabitkan politik.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata pertanyaan berhubung khabar angin MCA keluar dari BN tidak seharusnya ditujukan kepada partinya.

“Persoalan itu hanya perlu dijawab oleh MCA, bukan MIC,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ditanya jika dia akan menghubungi presiden MCA mengenai perkara itu, Vigneswaran berkata "sudah tentu saya akan berbuat demikian."

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sambil menambah sebarang perbincangan akan dibangkitkan secara dalaman dalam BN.

[Baca berita asal]