Vohrah: Hakim mesti utamakan undang-undang dan perlembagaan
Hakim Mahkamah Rayuan yang telah bersara Datuk KC Vohrah mengingatkan para hakim bahawa mereka bertanggungjawab menjalankan tugas mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, tidak kira pegangan agama mereka.
Hakim Mahkamah Rayuan yang telah bersara Datuk KC Vohrah mengingatkan para hakim bahawa mereka bertanggungjawab menjalankan tugas mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, tidak kira pegangan agama mereka.
Jika tidak, mereka tidak boleh menjadi hakim, kata Vohrah yang telah bersara pada Ogos 2002, dalam temubual dengan malaysiakini minggu ini.
Beliau diminta mengulas kebimbangan di kalangan masyarakat perundangan berhubung penghakiman dalam kes-kes murtad dan kes menukar agama.
Sesetengah pengamal perundangan mendapati wujud kecenderungan di kalangan hakim-hakim yang beragama Islam untuk membuat penghakiman mengikut pegangan agama mereka manakala hakim-hakim bukan Islam yang menganggotai panel hakim yang sama, membuat penghakiman berdasarkan hak-hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ditanya mengenai perkara itu, Vohrah dalam responnya, menyebut dua kes.
Pertama, kata beliau, membabitkan seorang hakim Katolik yang ditugaskan mendengar satu kes perceraian.
"Dalam Katolik, perceraian tidak dibenarkan dan apabila diminta mendengar kes tersebut, beliau mengumumkan perceraian itu kerana beliau telah mengangkat sumpah untuk menjalankan tugasnya mengikut perlembagaan," kata Vohrah.
Dalam kes kedua, beliau menyebut contoh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Zulkifli Mahmood, yang bertugas dengan agensi tersebut antara 1987 hingga 1994 dan ditawarkan jawatan hakim pada tahun 1980-an.
"Beliau menolaknya. Anda tahu apa sebabnya? Beliau berkata sebagai seorang Islam, beliau tidak bersetuju dengan hukuman bunuh dan jika menerima jawatan tersebut, sebagai hakim yang mendengar kes-kes jenayah, maka ia akan bercanggah dengan pegangannya.
"Itu sudah banyak tahun yang lalu dan sesetengah rakan saya juga menolak (tawaran seumpama itu) atas alasan yang sama," tambah Vohrah.
Hakim kanan
Vohrah juga mengulangi pentingnya ditubuhkan sebuah suruhanjaya perkhidmatan kehakiman yang bebas untuk menguruskan pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim.
Majlis Peguam Malaysia yang mempunyai 12,000 ahli, telah memperjuangkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk memastikan ketelusan dalam urusan tersebut, tetapi cadangan itu ditolak oleh kerajaan.
Vohrah berkata, suruhanjaya, yang dianggotai mereka yang tidak berkepentingan, boleh menggariskan kriteria-kriteria bagi pemilihan dan kenaikan pangkat para hakim yang pada masa ini dianggap kurang telus.
"Kita mesti mempunyai mereka yang dalam intelektualnya, berintegriti, penghakiman bertulis yang telah diterbitkan - terdapat mereka yang telah menulis ratusan penghakiman dan ada sesetengahnya pula yang tidak pernah langsung," katanya, sambil menambah, aspek kekananan mesti menjadi pertimbangan utama.
Beliau juga berkata, terdapat ramai hakim-hakim kanan dalam mahkamah tinggi dan rayuan yang sepatutnya diberi kenaikan pangkat, tetapi tidak diambilkira dalam pelantikan dan kenaikan pangkat baru-baru ini.
"Secara jujur, saya tidak tahu sebabnya, tapi jika anda bertanyakan saya mengenai pelantikan baru-baru ini - saya ingin meminjam petikan kata-kata para peguam, "Oh Tuhan, betul ke?"
"Anda akan tertanya-tanya mengapa mereka berkata demikian. Mesti ada sesuatu yang tidak kena," katanya.
Vohrah juga berharap agar semangat keakraban antara pihak hakim dan peguam dapat dipulihkan seperti masa dahulu.
'Bukan mudah untuk mendakwa'
Sementara itu, beliau juga berkongsi sentimen dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mempertahankan para pegawai pendakwanya yang dikritik hebat selepas mahkamah menolak beberapa kes berprofil tinggi.
"Saya setuju dengan pandangan beliau (Abdul Gani) bahawa bukan senang untuk menjalankan pendakwaan," kata Vohrah yang pernah menjadi pegawai pendakwa di Pejabat Peguam Negara.
Menurut Vohrah, kes pendakwaan selalunya bergantung kepada pegawai penyiasat dan keterangan saksi-saksi di mahkamah.
Katanya, terdapat ramai pegawai pendakwa yang muda dan kurang berpengalaman sejak 10 tahun yang lalu. Berita asal

