Ahli perniagaan Halim Saad mendedahkan bahawa dirinya telah disahkan bersih oleh SPRM tepat setahun lalu berhubung siasatan melibatkan tokoh politik dari era 1990-an.

Menurut Halim, dia menerima surat pengesahan tersebut pada 4 Disember tahun lalu.

“Surat ini mengesahkan bahawa tiada bukti salah laku di pihak saya berkaitan dengan siasatan tersebut.

“Namun, saya masih terlibat dalam siasatan ini sebagai saksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Halim tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai siasatan berkenaan.

Tahun lalu, tokoh perniagaan itu menafikan dakwaan bahawa SPRM telah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung transaksi yang didakwa melibatkan pembelian 32.6 peratus kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Berhad oleh United Engineers (M) Berhad (UEM) bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.


PANDUANKINI l Merenung semula urusniaga Renong-UEM pada 1997


Susulan itu, Halim memfailkan saman terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan II Nor Mohamed Yakcop, dan kerajaan Malaysia atas dakwaan pelanggaran haknya sebagai pemegang saham mengawal firma tersenarai bermasalah, Renong Berhad, pada tahun 2001.

Mahkamah Tinggi telah menolak saman itu pada Mei tahun ini, tetapi Halim kini sedang merayu keputusan tersebut.