Skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah mencetuskan semula tuntutan reformasi pembiayaan politik di Malaysia.

NGO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa kerajaan untuk memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.

Desakan ini timbul selepas pemberi maklumat yang mendedahkan skandal tersebut mendakwa salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang terlibat, Mohd Arifin Mohd Arif, menantunya kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman cuba menutup mulutnya dengan tawaran penyelesaian.

Menurut pemberi maklumat, penyelesaian tersebut termasuk pemulihan lesen penerokaan mineral yang telah dibatalkan sebagai pertukaran kepada pengeluaran kenyataan yang telah disediakan lebih awal bagi menyatakan bahawa dana yang terlibat hanyalah derma politik.

K'jaan Madani perlu ambil tindakan

C4 mendesak kerajaan Madani menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan menganggap rasuah isu kepentingan awam yang utama.

Badan pemantau itu turut berkata kes ini membuktikan bagaimana derma politik sering digunakan sebagai topeng untuk menutup amalan rasuah.

“Dakwaan ini mendedahkan sejauh mana risiko rasuah telah berakar dalam sistem politik Malaysia.

"Pertama, kenyataan yang telah disediakan lebih awal ini menunjukkan betapa normalnya ‘derma politik’ dalam sistem sehingga ahli politik percaya ia boleh digunakan dengan mudah untuk menepis tuduhan rasuah terhadap mereka.

"Tidak ada pertimbangan sama ada ‘derma’ ini perlu disokong dengan dokumentasi yang sah atau tidak.

"Ini membuktikan dakwaan aktivis antirasuah dan pertubuhan masyarakat sivil selama ini bahawa derma politik hanyalah selimut untuk menutup rasuah dan rangkaian kronisme,” menurut kenyataan C4.

Kuasa besar KM Sabah?

C4 juga menegaskan dakwaan ini menunjukkan betapa besar kuasa Ketua Menteri Sabah dalam pemberian kontrak kerajaan negeri dan permit kepada entiti swasta.

Malah, janji untuk mengembalikan permit syarikat pemberi maklumat dapat dilakukan dengan begitu mudah, seolah-olah keputusan itu hanya bergantung kepada budi bicara unilateral menteri sahaja.

C4 turut mengecam kerajaan Madani kerana gagal mengambil tindakan bermakna terhadap reformasi pembiayaan politik, walaupun keperluan terhadap undang-undang ini semakin jelas.

“Sebaliknya, kerajaan lebih lantang dalam menghalang rakyat daripada mengadakan protes menentang rasuah,” katanya.

Merujuk kepada dua perhimpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, C4 mengkritik kerajaan dan pihak berkuasa kerana memanggil aktivis mahasiswa untuk disoal siasat.

“Memalukan apabila kerajaan, polis, dan pentadbiran universiti mengeluarkan kenyataan serta ancaman terhadap gerakan akar umbi yang menuntut Malaysia lebih bersih.

"Lebih-lebih lagi ketika pihak yang sama hampir tidak bersuara mengenai skandal rasuah di Sabah, yang menjadi punca kepada gerakan tersebut pada awalnya,” kata C4.

NGO itu juga menegaskan pihaknya telah berulang kali mempertikai komitmen antirasuah yang didakwa dipegang oleh kerajaan Madani dan peristiwa ini semakin menjejaskan kepercayaan terhadap usaha tersebut.

“Siasatan dan penguatkuasaan oleh SPRM bukan penyelesaian kekal bagi membendung kebobrokan sistemik dalam institusi kita.

"Kerajaan Madani mesti menghidupkan semula agenda reformasi pembiayaan politik dan membentangkan Akta berkaitan di Parlimen,” tambahnya.

C4 mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan:

  • 1. Memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik berserta peraturan lain yang memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pembiayaan politik.

  • 2. Memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan pendakwaan kes berprofil tinggi bebas daripada pengaruh politik.

  • 3. Menghentikan intimidasi terhadap mahasiswa dan aktivis antirasuah serta memastikan semua perhimpunan aman dan demonstrasi dilindungi di bawah hak kebebasan bersuara dan berpersatuan.

[Baca berita asal]