Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes tembak di Setia Alam masih ada dalam Selangor
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 11:55 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada Sabtu dipercayai masih berada dalam negeri ini.

Kata Hussien, terkini usaha memburu suspek sedang giat dijalankan pihaknya.

"Kontinjen Selangor kini sedang menjejaki suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri ini.

"Fotofit suspek akan diedarkan ke kontinjen lain bagi menjejakinya sekiranya kita melihat ada keperluan untuk melakukan sedemikian," katanya dipetik Sinar Harian, pada Ahad.

Media semalam melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Hussein dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu itu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Suspek sudah dikenal pasti

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain memaklumkan bahawa polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

"Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada," katanya.

Razarudin berkata pihaknya juga akan memperketatkan kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum di seluruh negara.

Katanya, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi kejadian juga sudah diarahkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS