Polis tahan pengarah Suaram, didakwa masuk KDN tanpa pas
Polis petang ini menahan Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, kerana didakwa memasuki ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya tanpa pas masuk.
Bagaimanapun, dia dibebaskan kemudian selepas disoal siasat kira-kira sejam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NGO hak asasi manusia itu, penahanan tersebut membabitkan insiden pada hari Isnin, apabila Sevan dan pengurus program Suaram, Azura Nasron, mengiringi ahli keluarga 32 tahanan di bawah Sosma yang mahu bertemu wakil Kementerian Dalam Negeri.
Suaram memaklumkan Sevan telah ditahan di pejabat Suaram oleh sekumpulan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya manakala Azura masih belum ditahan kerana sedang bercuti sakit.

Difahamkan pasukan polis pada mulanya memaklumkan kepada Suaram mereka hanya mahu merakam kenyataan Sevan dan Azura.
"Sebelum polis tiba pagi ini, mereka telah memberitahu kedua-dua individu itu bahawa mereka datang untuk menyerahkan notis 111, tetapi sebaliknya, mereka telah diserkap dengan penahanan," kata kenyataan ringkas itu, merujuk kepada Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi kuasa kepada polis untuk memanggil seseorang ke balai polis.
Penyelaras Dokumentasi & Pemantauan Suaram, Jernell Tan memberitahu polis menahan Sevan pada sekitar jam 1.20 petang sebelum membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
"Kira-kira enam pegawai tiba dan menahan beliau. Selepas mengajukan kira-kira 12 hingga 14 soalan, mereka melepaskannya," katanya.
Hanya ambil keterangan
Menurutnya, pegawai polis mengesahkan penahanan Sevan itu selepas dia bertanya dua kali.
Tan turut berkata polis mengesahkan Sevan sedang disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Pindaan 1983).
Jelasnya, pegawai polis bersikap baik sepanjang proses tersebut dan tidak menggari Sevan. Sevan dibebaskan kira-kira sejam kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Aidi Sham Mohamed menafikan Sevan telah ditahan sebelum ini.

"Tidak ditahan. Hanya diambil keterangannya," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej ringkas.
Pun begitu, Sevan bertegas menolak dakwaan Aidi, menjelaskan pegawai yang menahannya telah mengesahkan penahanan tersebut.
"Pada awalnya, pegawai itu mengatakan mereka hanya mahu mengambil kenyataan saya, tetapi apabila saya bertanya sama ada ia boleh dilakukan pada hari lain, pegawai itu berkata tidak.
"Dan apabila saya bertanya sama ada saya sedang ditahan, dia berkata ya, dan saya dibawa ke IPD Putrajaya dalam kenderaan polis," katanya kepada Malaysiakini.
Dia turut berkata polis juga telah merampas MyKadnya semasa proses tersebut.
Ketika ditanya mengenai soalan yang diajukan kepadanya, Sevan berkata dia hanya menyatakan akan menjawabnya di mahkamah dan kemudian polis melepaskannya.
Pada hari Isnin, Sevan dan Azura mengiringi ahli keluarga tahanan ketika mereka menyerahkan memorandum berkaitan Sosma di pejabat Kementerian Dalam Negeri.
Kumpulan itu juga menuntut pertemuan dengan wakil Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan kebajikan para tahanan, yang telah melancarkan mogok lapar sejak hari Sabtu.
Menurut hantaran Suaram di Facebook mengenai acara itu, kementerian kemudiannya membenarkan enam orang wakil kumpulan tersebut memasuki bangunan untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/4657d51d499127dfa86f4071d7b28b90.jpg)
