Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu kerja kakitangan kesihatan pada 42 jam seminggu.

Pengerusi jawatankuasa itu Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan pihak berkepentingan bahawa ketika ini, beban kerja kakitangan KKM adalah tinggi, justeru bilangan mereka perlu ditambah untuk penyelesaian jangka panjang.

“Perbandingan dengan penanda aras antarabangsa menunjukkan bahawa waktu bekerja sektor kesihatan yang dicadangkan adalah tidak wajar.

“Negara-negara maju seperti United Kingdom menetapkan 40 jam seminggu, Jepun pada 40 jam seminggu dan Australia pada 38 jam seminggu.

“Memandangkan Malaysia masih menghadapi isu kekurangan kakitangan kesihatan yang menyebabkan beban tugas lebih tinggi berbanding negara-negara tersebut, adalah tidak munasabah untuk menambah waktu bekerja melebihi penanda aras antarabangsa,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Terdahulu, Suhaizan berkata PSC Kesihatan telah melaksanakan tiga sesi libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) pada 6, 13 dan 20 Feb lalu bagi membincangkan beban kerja dalam kalangan kakitangan KKM.

Katanya kakitangan KKM yang bekerja dalam sistem tiga syif menghadapi cabaran unik, antaranya cuma mendapat satu hari cuti seminggu, tiada elaun kerja malam, tiada waktu rehat khusus dan tiada hari cuti tetap.

Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Kulai menambah, tambahan tiga jam seminggu berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan fizikal dan mental, serta risiko kecuaian dalam tugas.

“Pada masa sama, ia mengurangkan masa mereka bersama keluarga dan meningkatkan risiko kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja.

“Tambahan waktu ini juga bermakna kehilangan 12 jam sebulan, sekali gus menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan kakitangan kesihatan,” katanya.

Suhaizan juga menjelaskan, kekurangan doktor, doktor pakar, jururawat dan penolong pegawai perubatan menambahkan beban tugas sedia ada.

Sekiranya waktu kerja ditambah tanpa penyelesaian terhadap isu tersebut, katanya, akan ada lebih ramai tenaga kerja kesihatan dijangka berhijrah ke sektor swasta dan luar negara.

“Keadaan kerja yang semakin mencabar tanpa insentif setimpal boleh mengurangkan minat pelajar untuk menyertai bidang perubatan, seterusnya menyebabkan kekurangan tenaga profesional pada masa hadapan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak bimbang mengenai arahan baru melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan memerlukan jururawat bekerja tiga jam lebih lama bagi seminggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS