Paling Popular
Terkini

Khoo Poay Tiong dari DAP (PH-Kota Melaka) hari ini mencadangkan agar buku teks sejarah sekolah rendah memasukkan sejarah semua kaum di Malaysia.

Langkah sebegitu, katanya, akan membantu perpaduan rakyat dari usia muda.

“Sebagai contoh, tahun lalu kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia dan China.

“Sebenarnya hubungan itu bermula apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka.

“Tetapi apabila saya menyemak buku teks sejarah sekolah rendah, ia tidak menyentuh perkara ini,” katanya kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat.

Sebagai maklum balas, Fadhlina menjelaskan sukatan pelajaran sekolah ditentukan oleh jawatankuasa khas yang dianggotai pakar dan guru.

Jawatankuasa itu mesti memutuskan acara bersejarah yang sesuai untuk tahap pendidikan pelajar, katanya.

"Saya ambil maklum tentang pandangan Kota Melaka itu tetapi saya ingin tegaskan bahawa semua cadangan tentang apakah peristiwa-peristiwa sejarah itu ditetapkan oleh jawatan kuasa ini," katanya.

Laksamana Cheng Ho, yang aktif pada akhir 1300-an hingga awal 1400-an, adalah seorang tokoh yang berpengaruh di istana Maharaja Yongle.

Dia melawat beberapa lokasi di Asia Tenggara dan mengembara sejauh India dan Sri Lanka.

Terdapat sebuah galeri yang dinamakan sempena namanya di Melaka. Ia dibuka pada tahun 2003 dan memaparkan maklumat tentang perjalanannya ke Asia Tenggara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS