Saravanan: Kritik, siasat semua yang rasis sama rata
Pihak berkuasa tidak boleh selektif apabila bertindak terhadap mereka yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan, sambil menekankan bahawa semua mesti disiasat sama rata.
Merujuk kepada insiden tiga hos Era FM mengundang kemarahan orang ramai berhubung video mereka mempersendakan upacara membawa kavadi semasa Thaipusam, ahli parlimen Tapah itu berkata kritikan juga harus dilemparkan kepada mereka yang memperlekehkan agama lain.

Katanya, sebagai contoh, pendakwah kontroversi Zamri Vinoth, mempunyai rekod prestasi yang panjang dengan sering membuat kenyataan menghasut atas alasan dakwah agama, tetapi menyemai benih perbalahan di kalangan rakyat Malaysia melalui penyebaran naratif yang berbahaya.
Dia juga berkata tindakan mesti diambil terhadap individu seperti Vijayan Savarinathan, yang kerap menghina dan mengkritik Islam.
“Sama seperti kita mengutuk mereka yang mempermainkan agama Hindu, kita juga mesti tegas terhadap mereka yang tidak menghormati mana-mana agama lain,” kata Saravanan dalam satu kenyataan hari ini.
“Apa yang kita perlukan adalah konsisten dalam tindakan. Tidak boleh ada penguatkuasaan terpilih dalam hal sensitiviti kaum dan agama,” tambahnya.
Kerajaan, tegasnya, mesti menerapkan undang-undang secara adil dan tegas kepada semua pihak yang menggugat keamanan dan keharmonian negara.

Semalam, Menteri Perpaduan Nasional Aaron Ago Dagang menggesa tindakan ke atas beberapa individu termasuk Zamri dan Vijayan kerana membuat penghinaan agama susulan kontroversi Era FM.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP Ramkarpal Singh juga menggesa agar jawatan Zamri dilucutkan, kerana membandingkan penganut Hindu yang semasa Thaipusam dengan mereka yang "dirasuk atau mabuk".
Saravanan, bagaimanapun, melihat cadangan SKMM untuk menggantung stesen radio itu sebagai "keras".
Ini, katanya memandangkan yang melakukan kesalahan adalah ketiga-tiga DJ dan bukannya keseluruhan stesen.
“Kami bimbang penggantungan stesen radio itu akan melibatkan mata pencarian ramai.
“Adalah tidak adil jika kakitangan stesen radio lain menderita kerana kesalahan yang dilakukan oleh hanya tiga orang pekerja, terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini (kita sepatutnya) memupuk perpaduan, saling bermaafan dan adil dalam menangani isu ini,” tambahnya.
Walaupun penyampai radio berkenaan telah membuat "langkah silap yang serius" dalam mencipta kandungan, Saravanan berkata mereka kini berdepan kesannya, termasuk penggantungan tugas serta siasatan oleh polis dan SKMM.
"Niat mereka mungkin bukan untuk mencipta huru-hara atau permusuhan, dan kita mesti membenarkan proses undang-undang berjalan dengan lancar agar ada duluan mengenai perkara tersebut."
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/0dc5ca9df2ac9efd2f218b07cc7128c5.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/dcc437dbe5c10c4150c646761ceedb78.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/01c6e453711153dacfec74195b2f5286.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/6c81b28a26fa62019d23e27efc836c6e.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/01/4a53891472fd62cf935a743fea5dd013.jpg)