Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bloger Penarik Beca meninggal dunia di majlis berbuka

Penulis dan bekas wartawan, Abu Bakar Rashid, menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun malam tadi ketika menghadiri satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi, Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, mengesahkan pemergian Abu Bakar disaksikan oleh bekas pimpinan PAS yang terdiri daripada kumpulan pengasas akhbar Harakah.

Abu Bakar merupakan bekas wartawan lidah rasmi parti PAS tersebut.

"Majlis (berbuka) tu dia (Abu Bakar) yang sungguh-sungguh nak buat. Macam reunion pendiri Harakah.

"Sebelum tu depa dah buat sebelum Ramadan, tapi ramai tak datang. Saya tak datang, Bang Mat (Mohamad Sabu) tak datang.

"Kebetulan dia (Abu Bakar) dapat kawan lama taja buka puasa," katanya.

Tambah Naib Presiden Amanah itu lagi, dia menghubungi Abu Bakar buat kali terakhir kira-kira 10 minit sebelum waktu berbuka puasa dan diberitahu akan sampai terlambat ke lokasi di sebuah restoran di Jalan Ipoh.

"Saya tak sedar dia sampai. Saya di dalam ruangan, sebahagian di luar. Saya nampak macam dia berdiri dekat luar sekejap, tak sempat duduk.

"Dia baru nak duduk, (nampak) macam melayang. Ada yang sempat paut dia, kepala tak terhempas," kata Mahfuz dalam nada sebak.

Dalam sekeping gambar dikongsikan di Facebook, Abu Bakar dilihat terbaring tidak sedarkan diri dan dibantu oleh sekumpulan petugas kesihatan dari hospital terdekat.

Turut kelihatan, bekas Naib Presiden PAS Mohd Nakhaie Ahmad serta seorang lagi Naib Presiden Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli.

"Saya ingat mungkin dia meninggal di situ juga," tambah Mahfuz.

Selain pernah bertugas sebagai wartawan, Abu Bakar turut menulis mengenai isu-isu politik semasa dari era Reformasi di laman blog Penarik Beca.

Menurut hantaran dibuat oleh anak allahyarham, jenazah Abu Bakar dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatus Sakinah di Taman Selasih, selepas Zuhur hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS