Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar elak jawab isu Izzah tanding timb presiden PKR

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengelak menjawab soalan jika anak sulungnya, Nurul Izzah akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.

Ketika diasak wartawan, Anwar yang juga presiden PKR sebaliknya berseloroh dia sendiri masih belum mengisi borang pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

“Saya tak daftar lagi (pemilihan).

“(Pertandingan) presiden (PKR) masih kosong. Presiden masih kosong.

“Nanti saya isi (borang pencalonan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas makan tengah hari di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Difahamkan presiden PKR itu sudah pun menghantar borang pencalonannya. Semakan Malaysiakini pada petang ini mendapati nama Anwar sudah tersenarai sebagai calon jawatan presiden PKR.

PKR dijadual mengadakan pemilihan bagi jawatan kepimpinan pusat sempena kongres nasional parti itu hujung bulan ini.

Mana-mana pemimpin yang berhasrat bertanding mempunyai masa sehingga jam 11.59 malam ini untuk menghantar borang pencalonan.

Setakat malam tadi, semakan Malaysiakini mendapati tiada pencalonan diterima untuk dua jawatan tertinggi parti.

Spekulasi semakin hangat mendakwa Nurul Izzah Anwar akan bertanding jawatan nombor dua PKR yang kini disandang oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Sokongan kepada Izzah untuk bertanding meningkat selepas sebilangan besar cabang PKR di seluruh negara menyatakan sokongan terbuka kepadanya.

Rafizi sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden dan menyatakan kesediaannya untuk dicabar oleh Izzah, yang kini merupakan salah seorang naib presiden PKR dan juga setiausaha agung parti, Saifuddin Nasution Ismail.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS