Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bubar DUN kalau anak jantan, kata Umno Sabah
Diterbitkan:  May 10, 2025 11:41 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Umno Sabah hari ini mencabar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membubarkan kabinet negeri dan meyerahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri itu melalui pilihan raya negeri (PRN).

Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata langkah tersebut wajar dilakukan GRS untuk membuktikan mereka benar-benar ada jiwa “anak jantan” serta “berprinsip.”

Katanya, sekarang adalah waktu untuk GRS menguji kekuatan sebenar mereka ketika beberapa pihak – termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor – terpalit dengan dakwaan skandal rasuah.

“GRS perlu membuktikan keberanian dan ketegasan pendirian politik mereka.

“Jika benar GRS adalah gabungan yang berprinsip dan berjiwa anak jantan, maka bubarkan segera (DUN) Sabah untuk memberi laluan kepada PRN ke-17, bukannya menunggu pembubaran automatik.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan dilihat sebagai satu tindakan pengecut,” kataya dalam kenyataan media.

Semalam Malaysiakini melaporkan GRS berkata mereka bersedia bertanding secara solo pada PRN akan datang sekiranya PH dan BN memutuskan untuk bekerjasama.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata kerajaan negeri patut dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

Untuk rekod semalam juga BN dan PH sudah membuat keputusan muktamad untuk bekerjasama menghadapi PRN yang dijangka diadakan beberapa bukan lagi.

Datu Rosman berkata rakyat Sabah berhak menentukan sama ada lapan parti tempatan yang membentuk GRS masih wajar diberi mandat baru membentuk kerajaan negeri atau sebaliknya.

Untuk itu, katanya, GRS perlu menunjukkan komitmen penuh tanpa bergantung kepada parti-parti nasional sejajar dengan slogan mereka, “Rumah Kita, Kita Jaga”.

Namun begitu, tambahnya lagim persoalan utama kini ialah tentang pendirian Datuk Seri Panglima Hajiji akan kekal atau berubah lagi.

Lebih daripada itu, kata Datu Rosman, Umno Sabah berpendapat GRS perlu berani melangkah ke hadapan tanpa ragu-ragu dan membuktikan bahawa mereka bukan lagi “lubuk katak-katak politik”.

“Inilah masa terbaik untuk GRS khususnya PGRS menghalau parti-parti nasional seperti Umno, MCA, PKR, DAP dan Amanah dari Sabah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS