Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Anwar tiada sebut dapatkan kekebalan mutlak - Shamsul
Diterbitkan:  May 30, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Seorang pembantu kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa perdana menteri cuba mendapatkan kekebalan undang-undang dalam kes saman sivil yang difailkan terhadapnya.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin berkata dakwaan yang dibuat Lawyers For Liberty itu bukan sahaja tidak tepat malah bersifat mengelirukan dan menanam persepsi yang salah kepada rakyat.

"Permohonan yang difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah satu proses yang sah di sisi undang-undang, bertujuan untuk mendapatkan tafsiran terhadap persoalan perundangan yang kompleks dan signifikan, khususnya melibatkan kedudukan seorang perdana menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan.

"Tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak," kata Shamsul dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Shamsul berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, yang menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar untuk campur tangan dalam perkara itu.

Ia susulan permohonan Anwar di mahkamah minggu lalu bagi merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada dia mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.

Dalam satu kenyataan, Zaid menyifatkan persoalan yang dikemukakan sebagai “tidak masuk akal”, serta tiada asas undang-undang untuk memberikan kekebalan daripada saman sivil kepada seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan.

Zaid berkata tindakan Anwar memfailkan permohonan seumpama itu merupakan petanda awal bahawa dia berhasrat untuk membuka ruang pintu belakang bagi memperkenalkan konsep kekebalan undang-undang untuk perdana menteri.

Bukan autoritarian

Mengulas lanjut, Shamsul berkata adalah tidak bertanggungjawab untuk menyamakan permohonan undang-undang ini dengan autoritarianisme.

Malah, katanya, di negara-negara yang menjunjung demokrasi, soal qualified immunity sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu.

"Perdana menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara<‘ tambahnya.

Menurutnya, sistem kehakiman di negara ini berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi dan tekanan media.

"Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak menyalahguna ruang undang-undang demi membina naratif politik. Serahkan kepada mahkamah untuk menilai.

"Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik. Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat,” katanya.

Pertahan Perlembagaan

Semalam, Ketua Whip Pembangkang, Takiyuddin Hassan menggesa Dusuki supaya campur tangan dan menegaskan Peguam Negara seharusnya bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan selaras dengan sumpah jawatannya.

Dia juga mengingatkan bahawa tindakan Anwar itu boleh mewujudkan satu duluan berbahaya.

Takiyuddin berkata, penyalahgunaan prinsip kekebalan undang-undang bukan sahaja boleh mencemarkan kredibiliti jawatan perdana menteri, malah membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Untuk rekod, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar pada tahun 2021 dengan mendakwa perdana menteri itu melakukan serangan seksual ke atasnya di pejabat Presiden PKR pada Oktober 2018.

Anwar kini memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberinya kekebalan bersyarat terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh Yusoff.

Anwar juga meminta mahkamah memutuskan sama ada kebenaran agar saman itu diteruskan akan menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab eksekutif secara berkesan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS