Jurulatih skuad bola sepak wanita (Malayan Tigress) meluahkan rasa puas hati terhadap prestasi anak buahnya yang berjaya mengekalkan organisasi permainan dan semangat juang tinggi, sekali gus mencatat kemenangan penting ke atas pasukan lawan.
Ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli berkata kemenangan 3-1 ke atas Bhutan dalam aksi kedua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 Tri Nations di Stadium Changlimithang, Bhutan merupakan bukti bahawa pasukan wanita kebangsaan mampu bangkit dan memperbaiki prestasi selepas kekalahan tipis kepada Hong Kong dalam perlawanan pembukaan.
"Bagi kami, ia membawa banyak makna kerana ia sangat penting untuk mula meraih kemenangan dan juga berkaitan dengan prestasi kami yang boleh diubah.
“Kami boleh berubah apabila berdepan pasukan yang mempunyai organisasi yang baik dan serangan yang kuat. Jadi pasukan kami cuba mengekalkan organisasi itu, dan saya sangat gembira dengan perkara tersebut.
“Saya memang meminta supaya dalam perlawanan ini, kami mesti bermain secara tersusun untuk mempunyai peluang untuk menang. Jadi mereka ikut perancangan dan semangat mereka juga sangat baik. Saya sangat berpuas hati dengan prestasi para pemain," katanya.

Bhutan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Yeshi Bidhya pada minit ke-24, namun kelebihan itu tidak kekal lama apabila Intan Serah Anisah Zulgafli pantas menyamakan kedudukan empat minit kemudian. Ainsyah Murad menambah gol kedua pada masa tambahan separuh masa pertama, sebelum Farahiyah Ridzuan mengesahkan kemenangan Malayan Tigress dengan gol ketiga pada minit ke-90+8.
Kemenangan ini hadir hanya beberapa hari selepas kekalahan 1-2 kepada Hong Kong pada 31 Mei lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dari segi organisasi pasukan, seperti yang ditekankan Cornelli, jurulatih berpengalaman dari Brazil yang mula mengambil alih pasukan sejak Mei 2025.

Pelantikan Cornelli oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai ketua jurulatih menggantikan Soleen Al-Zoubi, yang kini menjawat jawatan pengarah teknikal bola sepak wanita, dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh struktur dan daya saing pasukan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dengan satu kemenangan dan satu kekalahan dalam kejohanan Women's Tri-Nation Cup 2025, Malayan Tigress menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan kini bersedia untuk terus melakar kejayaan di pentas serantau.
Sebelum itu, dalam perlawanan pertama kejohanan yang berlangsung pada Sabtu, Malaysia tewas 1-2 kepada Hong Kong.
Malaysia berada di ranking 102 Fifa sementara Hong Kong pula di kedudukan lebih baik (80). Bhutan berada di ranking 171 dunia.
