Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada pegawai AADK lepaskan individu positif dadah - EAIC
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 1:16 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan beberapa pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan melakukan kesalahan dengan melepaskan beberapa individu yang didapati positif dadah.

Dapatan itu diperoleh susulan siasatan terhadap aduan berhubung dakwaan kesalahan itu semasa serbuan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan, pada 8 Mac 2023.

Menurut kenyataan EAIC, terdapat keterangan menunjukkan beberapa individu positif dadah semasa serbuan dilepaskan, sekali gus merupakan kesalahan bawah seksyen 221 Kanun Keseksaan.

“Beberapa orang pegawai AADK didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) AADK yang berkaitan semasa melaksanakan operasi tersebut.

“Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700],” katanya.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan perlakuan jenayah kepada pendakwa raya menurut subperenggan 30(1)(c) Akta 700.

Ini termasuk merujuk dapatan berkaitan kesalahan tatatertib oleh pegawai-pegawai AADK terlibat kepada pihak berkuasa tatatertib dengan syor hukuman tatatertib menurut subperenggan 30(1)(b) Akta 700.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS